Selasa, 8 Februari 2022 | 6:17pm
Kemarau berpanjangan menyebabkan penduduk di Semenanjung Afrika Timur diancam kelaparan berikutan tanaman musnah manakala ternakan mati. - Foto AFP
Kemarau berpanjangan menyebabkan penduduk di Semenanjung Afrika Timur diancam kelaparan berikutan tanaman musnah manakala ternakan mati. - Foto AFP

Kemarau di Afrika bertambah buruk, 13 juta berisiko kelaparan

NAIROBI: Program Makanan Sedunia (WFP) menganggarkan kira-kira 13 juta orang di Kenya, Somalia dan Ethiopia menghadapi kelaparan teruk berikutan 'Horn of Africa' atau Semenanjung Afrika Timur mengalami kemarau terburuk.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, rantau berkenaan dilanda kemarau sejak beberapa dekad lalu dan mencatatkan keadaan paling kering sejak 1981.

Pengarah Wilayah WFP di Afrika Timur, Michael Dunford, berkata kemarau memusnahkan tanaman dan mengakibatkan kematian ternakan yang luar biasa tinggi.

Keadaan itu memaksa keluarga di luar bandar yang bergantung pada pertanian untuk meneruskan kehidupan, kini meninggalkan rumah mereka.

Beliau berkata, lebih banyak ancaman dan kesengsaraan dijangka berlaku akibat kekurangan bekalan air selain ramalan hujan di bawah purata pada bulan akan datang.

"Tuaian rosak, ternakan mati dan kelaparan semakin meningkat apabila kemarau berulang kali menjejaskan 'Horn of Africa'.

"Krisis ini memerlukan tindakan kemanusiaan segera untuk mengelak berulangnya tragedi seperti di Somalia pada 2011, di mana 250,000 orang mati akibat kelaparan semasa kemarau yang berpanjangan," katanya dalam satu kenyataan.

Bantuan makanan kini diagihkan merentasi kawasan kering di Kenya, Ethiopia dan Somalia, di mana kadar kekurangan zat makanan adalah tinggi dengan kira-kira 13 juta orang berisiko mengalami kelaparan teruk pada suku pertama tahun ini.

Kira-kira 5.7 juta orang memerlukan bantuan makanan di selatan dan tenggara Ethiopia, termasuk setengah juta kanak-kanak dan golongan ibu yang kekurangan zat makanan.

Di Somalia, jumlah mereka yang dikenal pasti mengalami kelaparan teruk dijangka meningkat daripada 3.5 juta kepada 4.6 juta menjelang Mei melainkan ada usaha bantuan dilaksanakan.

Sementara itu 2.8 juta lagi orang memerlukan bantuan di tenggara dan utara Kenya, di mana darurat kemarau diisytiharkan pada September lalu.

Menurut WFP, AS$327 juta (RM1.4 bilion) diperlukan untuk membekalkan keperluan segera dalam tempoh enam bulan akan datang dan menyokong masyarakat desa supaya lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim mendadak yang berulang.

Pada 2011, ketiadaan hujan membawa kepada tahun paling kering sejak 1951 di kawasan gersang Kenya, Somalia, Ethiopia, Djibouti dan Uganda.

Sekumpulan pakar menyatakan cuaca ekstrem berlaku dengan kerap akibat perubahan iklim, namun Afrika yang menyumbang paling sedikit kepada pemanasan global, paling teruk menanggung beban akibatnya. - AFP

Berita Harian X