Isnin, 17 Januari 2022 | 12:08pm
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

Program Makanan Sedunia sambung operasi di Sudan barat

KHARTOUM: Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Ahad memutuskan untuk menyambung semula operasinya di Negeri Darfur Utara, Sudan barat selepas dihentikan kira-kira dua minggu.

Pengarah Negara WFP, Eddie Rowe mengumumkan penyambungan semula pengedaran makanan di kawasan berbeza di Darfur Utara, lapor Xinhua memetik Agensi Berita SUNA yang dikendalikan kerajaan.

Rowe mengecam rampasan dan serangan baru-baru ini ke atas gudang agensi itu di ibu negara El Fasher, menekankan keperluan untuk menangkap pelaku dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Pada 31 Disember 2021, WFP mengumumkan penggantungan operasinya di Darfur Utara, dua hari selepas serangan oleh kumpulan bersenjata yang tidak dikenali.

Dianggarkan lebih 5,000 tan makanan dirampas. – BERNAMA

Berita Harian X