Ahad, 16 Januari 2022 | 4:44pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Selesema burung ragut nyawa lebih 500,000 ayam di Burkina Faso

OUAGADOUGOU : Sekurang-kurangnya setengah juta ayam sama ada mati atau terpaksa dilupuskan akibat wabak selesema burung bagi mencegah penyebaran virus itu di Burkina Faso.

Menurut Menteri Sumber Haiwan, Moussa Kabore, wabak selesema burung H1N1 itu dikesan akhir tahun lalu di 42 ladang, sebelum tersebar di tujuh wilayah tengah dan barat negara itu.

"Pada penghujung Disember 2021, kami mencatatkan kadar kematian tinggi dalam kalangan ternakan di tapak pengeluaran negara," katanya sambil memaklumkan pengesahan kehadiran selesema burung H5N1.

Katanya, menjelang 7 Januari lalu, kira-kira 500,000 ayam sama ada mati akibat penyakit itu atau dimusnahkan sementara 1.3 juta kotak telur juga dimusnahkan.

Kerajaan sudah mengumumkan beberapa langkah membasmi penyakit itu, termasuk memantau tempat burung liar berkumpul untuk mengenal pasti kemungkinan kes selain menangkap serta menguji burung yang sakit atau mati disebabkan virus itu.

Burkina Faso dilanda gelombang selesema burung berturut-turut sejak wabak H5N1 melanda dunia pada 2006.

Dalam kebanyakan kes, wabak yang dikesan berpunca daripada pergerakan burung.

Penternakan adalah salah satu industri terbesar di Burkina Faso dan penyumbang pertukaran asing ketiga terbesar selepas pengeluaran emas dan kapas.

Ayam sangat popular dengan banyak isi rumah menternak ayam untuk dimakan sendiri atau sebagai cara untuk menjana pendapatan. - AFP

Berita Harian X