Jumaat, 14 Januari 2022 | 1:40pm
Keadaan terus bergolak di Sudan berikutan tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa oleh tentera. - FOTO REUTERS
Keadaan terus bergolak di Sudan berikutan tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa oleh tentera. - FOTO REUTERS

Tunjuk perasaan di Sudan catat kematian pertama pasukan keselamatan

KHARTOUM: Seorang pegawai polis Sudan maut, semalam, disyaki akibat ditikam oleh penunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa oleh tentera, menurut pihak berkuasa.

Selain itu, seorang penunjuk perasaan turut dilaporkan terkorban, dalam perkembangan terbaru insiden pergolakan terbabit yang sudah berlarutan selama berminggu-minggu.

Polis dalam satu kenyataan melalui Facebook memaklumkan, Brigedier Jeneral Ali Bareema Hamad terbunuh ketika menjalankan tugas dan mengawal tunjuk perasaan.

"Hamad ditikam oleh sekumpulan penunjuk perasaan di pelbagai bahagian tubuhnya.

"Anggota polis lain mengalami kecederaan parah," kata jurucakap polis, Idris Abdalla Idris, kepada Sudan TV.

Kematian Hamad adalah kes pertama seumpama itu yang dilapor membabitkan pasukan keselamatan sejak tunjuk perasaan tercetus lebih dua bulan lalu untuk mendesak pemerintahan awam dikembalikan di negara ini.

Dalam pada itu, kumpulan ahli perubatan pula mendakwa, sekurang-kurang 64 individu lain sudah terbunuh dan ratusan lagi cedera akibat tindakan keras pasukan keselamatan.

Mereka mendakwa, ramai penunjuk perasaan maut akibat ditembak peluru hidup.

Korban terbaru membabitkan penunjuk perasaan juga dilaporkan berlaku di Khartoum, semalam.

Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan yang prodemokrasi dalam kenyataan melalui Facebook, mendakwa pasukan keselamatan menembak Al-Reeh Mohammad di bahagian perut.

Sudan terus bergolak dengan ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan untuk membantah rampasan kuasa oleh tentera diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan pada 25 Oktober lalu.

Buat masa ini, tiada pembentukan kerajaan di Sudan dan bantuan asing pula telah digantung, manakala bantahan terus meluas membabitkan penyertaan puluhan ribu penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa didakwa sering menanganinya secara keras. - AFP

Berita Harian X