Jumaat, 7 Januari 2022 | 12:16pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

3 warga China diculik, 2 penduduk dibunuh di Nigeria

YENAGOA: Sekumpulan lelaki bersenjata menculik tiga warga China sebelum membunuh dua kakitangan yang sedang bekerja di tapak projek jana kuasa di Niger, Nigeria, Selasa lalu.

Jurucakap Polis Niger, Wasiu Abiodun, berkata penculikan dilakukan suspek yang disyaki anggota kumpulan penjenayah yang kini giat melancarkan serangan di kawasan berkenaan.

"Serangan kali ini menyasarkan kakitangan projek Empangan Kuasa Sino-Hydro yang sedang bekerja di menara talian transmisi di sebuah kampung.

"Selepas berlaku pertempuran senjata dengan polis, tiga warga China diculik manakala empat rakan senegara mereka berjaya diselamatkan.

"Suspek turut menembak seorang pekerja warga China dan dua kakitangan yang juga penduduk tempatan, yang mana seorang warga Nigeria disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital," katanya.

Tambah beliau, keadaan kacau bilau ketika serangan dimanfaatkan penculik untuk melarikan tiga mangsa ekspatriat itu.

Katanya lagi, pasukan polis dan tentera kini bersama melancarkan gerakan memburu suspek serta operasi menyelamat mangsa culik.

Kumpulan penjenayah yang sama turut melakukan kegiatan menyamun dan disyaki terbabit dalam penculikan kanak-kanak sekolah dan orang awam.

Kata Abiodun, modus operandi mereka ialah membawa mangsa ke hutan sebelum meminta wang bagi melepaskan tebusan.

Kerajaan Nigeria pada Rabu menyenaraikan dua kumpulan penyamun sebagai pengganas, sekali gus membenarkan pasukan keselamatan menggunakan kekerasan termasuk membunuh, tanpa perlu menghadapi tindakan undang-undang.

Menurut tentera, dua pemimpin penyamun terbunuh awal minggu ini berikutan serangan udara tentera di negeri Zamfara, di mana pihak berkuasa mengenakan sekatan telekomunikasi pada September lalu bagi cuba menyekat operasi mereka. REUTERS

Berita Harian X