Jumaat, 7 Januari 2022 | 10:25am
Menteri Luar China, Wang Yi. - Foto REUTERS
Menteri Luar China, Wang Yi. - Foto REUTERS

China nafi 'menjerat' Afrika dengan beban hutang

MOMBASA: China menafikan dakwaan Beijing cuba 'menjerat' negara Afrika dengan beban hutang menerusi tawaran pinjaman dalam jumlah besar yang mustahil dibayar balik.

Menteri Luarnya, Wang Yi, berkata pihaknya menolak sama sekali idea itu, yang disifatkan sebagai satu konspirasi bagi menghalang usaha untuk mengurangkan kemiskinan di negara terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berkata pinjaman yang diberikan China kepada Afrika adalah bersifat menang-menang dan bukannya strategi untuk mengeksploitasi konsesi diplomatik dan komersial.

"Ia tidak benar, sebaliknya hanya spekulasi yang dibangkitkan sesetengah pihak dengan niat tersembunyi.

"Ia adalah naratif yang dicipta oleh pihak yang tidak mahu melihat pembangunan di Afrika.

"Perangkap sebenar di sini ialah kemiskinan dan kemunduran, yang Beijing berusaha membantu mereka (Afrika) keluar daripada belenggu ini," katanya selepas melawat projek infrastruktur dibiayai China di Kenya.

Lawatan Yi ke tiga negara Eritrea, Kenya dan Comoros menyusuli lawatan ke Afrika oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, pada November lalu bertujuan menyekat pengaruh China yang semakin meningkat di benua itu.

Berdasarkan data rasmi China, negara itu adalah rakan dagang terbesar Afrika dengan nilai perdagangan terus melebihi AS$200 bilion (RM842 bilion) pada 2019.

China juga ialah pemberi pinjaman kedua terbesar Kenya selepas Bank Dunia dan pernah membiayai beberapa projek infrastruktur yang mahal, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa Nairobi berhutang melebihi kemampuannya.

Di Mombasa, Yi mengadakan mesyuarat tertutup dengan barisan menteri kerajaan dan menandatangani perjanjian perdagangan serta pelaburan, kesihatan, keselamatan, perubahan iklim dan pertukaran teknologi hijau.

Beliau kemudian bertemu Presiden, Uhuru Kenyatta, dan melawat Pelabuhan Mombasa di mana China membina terminal baharu bernilai AS$352 juta (RM1.5 bilion) bagi membolehkan kapal tangki minyak yang lebih besar berlabuh.

Beijing membiayai projek infrastruktur mega Kenya sejak kemerdekaan, dengan menyediakan pinjaman sehingga AS$5 bilion (RM21 bilion) untuk pembinaan landasan kereta api dari Mombasa yang dibuka pada 2017.

Sementara itu, Menteri Luar Kenya, Raychelle Omamo berkata, lawatan itu membuktikan hubungan antara dua negara yang semakin erat.

Pada Januari 2020, Yi dalam lawatannya ke Mombasa menyifatkan projek kereta api itu sebagai penanda aras Inisiatif Jalan dan Jalur (BRI) China, dengan suntikan trilion dolar untuk meningkatkan hubungan perdagangan di seluruh dunia.

Namun, pihak pemerhati tidak begitu senang dengan perkembangan itu dan memberi amaran bahawa pergantungan Kenya pada pembiayaan China menyebabkan hutang melonjak ke tahap yang tidak terurus. - AFP

Berita Harian X