Isnin, 3 Januari 2022 | 9:33pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

6 terbunuh dalam serangan Al-Shabaab di Kenya

NAIROBI: Seramai enam orang terbunuh manakala beberapa kediaman terbakar dalam serangan didakwa didalangi pengganas Al-Shabaab hari ini di wilayah Lamu di pantai Kenya.

Pesuruhjaya Daerah Lamu, Irungu Macharia, yang mengesahkan serangan itu berkata, ia berlaku di wilayah bersempadan dengan Somalia.

"Saya mengesahkan serangan ini, yang dipercayai dilancarkan oleh Al-Shabaab di lokasi dikenali sebagai Widhu dan kita kehilangan enam orang.

"Salah seorang ditembak mati manakala yang lain dibakar, pasukan keselamatan kini sedang menjejaki  mereka dan kami mohon sokongan daripada penduduk tempatan untuk turut sama membantu," katanya.

Pejuang Al-Shabaab melancarkan beberapa serangan berskala besar di Kenya sebagai tindakan balas terhadap Nairobi kerana menghantar tentera ke Somalia pada 2011, menyertai pasukan Kesatuan Afrika untuk memerangi mereka.

Kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda itu sedang berusaha menggulingkan kerajaan sokongan pihak antarabangsa di Mogadishu dan mengawal kawasan selatan Somalia yang kerap melancarkan serangan di ibu negara dan tempat lain.

Wilayah Lamu yang mempunyai destinasi pantai pelancongan popular Pulau Lamu, terletak berhampiran dengan sempadan Somalia dan sering mengalami serangan termasuk bom. - AFP

Berita Harian X