Isnin, 3 Januari 2022 | 8:34am
(Gambar fail) Hamdok semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Sudan. - FOTO EPA
(Gambar fail) Hamdok semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Sudan. - FOTO EPA

Perdana Menteri Sudan letak jawatan

KHARTOUM: Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok, semalam mengumumkan peletakan jawatannya, kira-kira enam minggu selepas kembali mentadbir negara bergolak ini.

Pada 25 Oktober lalu, Hamdok diguling dan diletakkan bawah tahanan dalam rumah susulan rampasan kuasa oleh tentera Sudan.

Hamdok kembali menyandang jawatan itu pada November lalu melalui perjanjian dengan pemimpin tentera, yang beliau ketika itu menyifatkannya sebagai berupaya menyelamatkan peralihan ke arah demokrasi.

Bagaimanapun, perjanjian berkenaan dikecam ramai pihak dalam pakatan awam yang menyokong beliau sebelum itu, serta oleh penunjuk perasaan yang terus mengadakan bantahan terhadap pemerintahan tentera.

Susulan keputusannya itu, beliau berkata, perbincangan meja bulat perlu diadakan bagi menghasilkan perjanjian baharu untuk peralihan politik Sudan.

"Saya membuat keputusan untuk menyerahkan kembali tanggungjawab serta mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, dan memberi peluang kepada wanita atau lelaki lain membantu negara ini mengharungi apa yang masih tinggal dalam tempoh peralihan ke arah negara demokrasi awam," katanya dalam ucapan yang disiarkan televisyen.

Hamdok berkata, beliau sudah berusaha tetapi gagal membentuk kata sepakat antara pihak berpecah belah, yang penting bagi membolehkan penyelesaian proses perjanjian damai yang ditandatangani bersama beberapa kumpulan pemberontak pada 2020 dan persediaan untuk mengadakan pilihan raya pada 2023.

"Saya telah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan negara kita daripada bahaya terjerumus ke dalam malapetaka.

"Biarpun segala usaha dicurah untuk menghasilkan perjanjian yang perlu serta begitu diharapkan bagi menepati janji kami kepada rakyat berhubung keselamatan, keamanan dan menamatkan pertumpahan darah, malangnya ia tidak berlaku," katanya.

Pengumuman Hamdok itu sekali gus meletakkan masa depan politik Sudan semakin tidak menentu, selepas tercetus pemberontakan yang membawa kepada penggulingan Omar al-Bashir kira-kira tiga tahun lalu.

Susulan penggulingan al-Bashir, Hamdok yang juga pakar ekonomi dan bekas pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dihormati komuniti antarabangsa, menjadi Perdana Menteri bawah perjanjian perkongsian kuasa antara pihak tentera dengan awam.

Sementara itu dalam insiden demonstrasi terbaru, semalam, iaitu beberapa jam sebelum pengumuman Hamdok, pasukan keselamatan Sudan melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang berarak menuju ke Istana Presiden di Khartoum.

Sebuah jawatankuasa doktor yang seiring gerakan bantahan itu mendakwa, sekurang-kurang tiga individu maut yang menjadikan jumlah korban mencecah 57 orang dalam tunjuk perasaan sejak rampasan kuasa pada 25 Oktober lalu.

Khamis lalu, enam dilaporkan maut dan ratusan lagi cedera dalam tunjuk perasaan di seluruh negara. -

REUTERS

Berita Harian X