Isnin, 6 Disember 2021 | 8:36pm
Rakyat di Sudan Selatan. - Foto AFP
Rakyat di Sudan Selatan. - Foto AFP

30 peratus rakyat Sudan perlu bantuan tahun depan - PBB

KHARTOUM: Tiga puluh peratus daripada populasi Sudan memerlukan bantuan kemanusiaan, tahun depan.

Demikian kegusaran disuarakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menerusi satu laporan, hari ini, dengan menyifatkan ia sebagai kadar tertinggi dalam tempoh sedekad.

Situasi itu dikatakan tercetus ekoran krisis ekonomi dan pandemik COVID-19, selain banjir, penyakit berjangkit dan keadaan Sudan sebagai negara termiskin di dunia.

Sudan turut menjadi negara yang menempatkan jutaan pelarian dan individu yang hilang tempat tinggal secara dalaman (IDP).

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) berkata, 14.3 juta daripada keseluruhan 47.9 juta populasi Sudan, termasuk warganegara dan pelarian, memerlukan bantuan kemanusiaan tahun depan.

Laporan itu menjelaskan bahawa kadar sedemikian menunjukkan peningkatan 800,000 orang, berbanding tahun lalu, malah perangkaan tertinggi dalam beberapa dekad lalu.

Lebih separuh daripada populasi berisiko adalah wanita dan kanak-kanak.

Sudan mempunyai hampir tiga juta IDP berikutan konflik yang berpanjangan, termasuk di wilayah barat Darfur yang menyaksikan 300,000 terkorban dalam kemelut pada 2003 lalu, menurut PBB.

Negara berkenaan turut menempatkan hampir 1.2 juta pelarian dan pencari suaka, dengan 68 peratus daripada mereka ialah dari Sudan Selatan. - AFP

Berita Harian X