Isnin, 29 November 2021 | 9:49pm
Kakitangan perubatan melakukan ujian reaksi rantaian polymerase (PCR) bagi COVID-19 terhadap pengembara di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo di Johannesburg, Afrika Selatan ketika beberapa negara melarang penerbangan dari negara itu akibat penemuan varian baru, Omicron. - Foto AFP
Kakitangan perubatan melakukan ujian reaksi rantaian polymerase (PCR) bagi COVID-19 terhadap pengembara di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo di Johannesburg, Afrika Selatan ketika beberapa negara melarang penerbangan dari negara itu akibat penemuan varian baru, Omicron. - Foto AFP

Kes COVID-19 Afrika Selatan melonjak akibat varian Omicron

JOHANNESBURG: Varian COVID-19 Omicron yang baru ditemui mungkin mencetuskan lonjakan kes di Afrika Selatan, menyaksikan jangkitan harian meningkat tiga kali ganda minggu ini.

Amaran itu dikeluarkan pakar epidemiologi terkemuka, Dr Salim Abdool Karim, pada taklimat media dengan Kementerian Kesihatan secara dalam talian.

Pasukan Pemantau Kesihatan melaporkan lebih 2,800 jangkitan semalam, meningkat daripada purata harian 500 kes berbanding minggu lalu dan 275 kes pada minggu sebelumnya.

"Kami boleh menjangkakan kemungkinan penularan yang lebih tinggi dan kami akan mendapat lebih banyak kes dalam tempoh yang singkat.

"Saya menjangkakan kita mengatasi lebih 10,000 kes sehari menjelang akhir minggu dan tekanan ke atas hospital dalam tempoh dua, tiga minggu akan datang," katanya.

Khamis lalu, saintis Afrika Selatan mengumumkan penemuan varian baru yang sangat cepat bermutasi dan peningkatan kes mendadak disebabkan jangkitan di negara paling teruk terjejas di benua Afrika itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan Omicron sebagai varian yang membimbangkan (VOC) dan masih menilai sejauh mana ia memudaratkan, walaupun pakar bersetuju ia berkemungkinan merebak dengan pantas.

Wujud juga kebimbangan varian itu mungkin lebih tahan terhadap antibodi tertentu, walaupun keupayaannya untuk bertindak balas terhadap vaksin masih dinilai.

Setakat ini, kesan teruk penyakit daripada varian ini masih belum dapat ditentukan, walaupun bukti awal menunjukkan simptom agak ringan.

"Walaupun Omicron tidak secara klinikal lebih teruk, dan pastinya ia tidak menimbulkan sebarang tanda merah lagi... kita akan melihat (peningkatan kes) dalam semua kemungkinan kerana kepantasan penularan," kata Karim.

Berpuluh negara kini melaksanakan larangan perjalanan ke atas Afrika Selatan dan negara jirannya dalam usaha untuk menghalang Omicron, walaupun varian itu kini dikesan di sekurang-kurangnya 11 negara lain. - AFP

Berita Harian X