X
Ahad, 28 November 2021 | 8:21am
Khaled Mahdi Ibrahim al-Emam. - Foto AGENSI
Khaled Mahdi Ibrahim al-Emam. - Foto AGENSI

PM Sudan pecat ketua polis

KHARTOUM: Perdana Menteri Sudan, Abdallah Hamdok menukar ketua polis negara itu selepas lebih 40 orang terbunuh dalam insiden tindakan keras terhadap penunjuk perasaan, susulan rampasan kuasa tentera bulan lalu.

Ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan merampas kuasa dan menahan Abdallah pada 25 Oktober lalu, namun mengembalikan kedudukan Abdallah dalam perjanjian pada 21 November, selepas menerima kecaman antarabangsa dan tunjuk perasaan beramai-ramai.

Pakar perubatan berkata, sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan berusaha untuk menamatkan demonstrasi antitentera itu, dengan tunjuk perasaan berterusan walaupun selepas Abdallah dibebaskan daripada tahanan rumah dan kembali memegang jawatannya, minggu lalu.

Pada Sabtu, Abdallah dalam satu kenyataan, berkata beliau memecat ketua pengarah polis, Khaled Mahdi Ibrahim al-Emam dan timbalannya, Ali Ibrahim.

Beliau kemudian melantik Anan Hamed Mohamed Omar menggantikan Khaled dan Abdelrahman Nasreddine Abdallah sebagai timbalannya.

Pakar perubatan mendakwa, pasukan keselamatan menyasarkan penunjuk perasaan di bahagian 'kepala, leher dan batang tubuh' dengan peluru hidup, serta peluru bersalut getah dan tong gas pemedih mata.

Polis bagaimanapun menafikan laporan mereka melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup.

Selain itu, ratusan aktivis politik, wartawan, penunjuk perasaan dan orang ramai yang melihat perhimpunan itu ditangkap sejak beberapa minggu lalu dan masih dalam tahanan.

Walaupun beberapa pemimpin masyarakat sudah dibebaskan sejak perjanjian Ahad lalu, beberapa pemimpin penting masih ditahan. -

Berita Harian X