Isnin, 22 November 2021 | 7:16am
Jeneral tertinggi Sudan, Abdel Fattah Al-Burhan (kiri) dan Perdana Menteri Abdalla Hamdok menandatangani perjanjian untuk memulihkan peralihan kepada pemerintahan awam di negara itu semalam. - Foto AFP
Jeneral tertinggi Sudan, Abdel Fattah Al-Burhan (kiri) dan Perdana Menteri Abdalla Hamdok menandatangani perjanjian untuk memulihkan peralihan kepada pemerintahan awam di negara itu semalam. - Foto AFP

Abdalla Hamdok dikembalikan jawatan PM Sudan

KHARTOUM: Perdana Menteri Sudan yang digulingkan dan jeneral tertinggi yang menggulingkannya sebulan lalu, semalam menandatangani perjanjian untuk membalikkan pengambilalihan tentera, tetapi protes berterusan dan seorang remaja terbunuh.

Beribu-ribu penunjuk perasaan dalam pelbagai perhimpunan menolak perjanjian itu, menjerit 'Tidak kepada kuasa tentera' dan menuntut tentera berundur sepenuhnya daripada kerajaan.

Seorang budak lelaki 16 tahun ditembak dan dibunuh di bandar kembar Khartoum, Omdurman, kata pegawai perubatan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan sejak rampasan kuasa bulan lalu kepada 41.

Beberapa yang lain mengalami luka terkena tembakan selepas pertempuran dengan pasukan keselamatan, tambah mereka.

Jeneral Abdel Fattah al-Burhan hadir di istana presiden di Khartoum untuk satu majlis yang disiarkan di televisyen dengan Perdana Menteri Abdalla Hamdok yang kelihatan lesu, muncul dari tahanan rumah selama beberapa minggu.

Perjanjian 14 perkara yang mereka tandatangani secara rasmi memulihkan peralihan kepada pemerintahan awam yang telah tergelincir oleh tindakan 25 Oktober di negara Afrika yang dilanda kemiskinan itu.

Perjanjian itu, yang dibuat selepas perbincangan krisis membabitkan peserta Sudan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Afrika dan Barat, menyatakan bahawa keputusan Burhan 'untuk melepaskan Perdana Menteri peralihan (tugasnya) dibatalkan'.

Ia berkata, semua tahanan politik akan dibebaskan, dan secara rasmi melancarkan semula proses peralihan yang rapuh ke arah demokrasi penuh yang bermula selepas penyingkiran 2019 autokrat lama Omar al-Bashir.

Hamdok memuji 'revolusi' kuasa rakyat yang membawanya menjadi kerajaan dan mengisytiharkan keutamaan utama sekarang ialah 'menghentikan pertumpahan darah di Sudan berbanding perkara lain'.

Penunjuk perasaan Sudan berarak sambil mengibar bendera negara semasa tunjuk perasaan menyeru kembali kepada pemerintahan awam di ibu negara Khartoum. - Foto AFP
Penunjuk perasaan Sudan berarak sambil mengibar bendera negara semasa tunjuk perasaan menyeru kembali kepada pemerintahan awam di ibu negara Khartoum. - Foto AFP

"Kami menyerahkan pilihan siapa yang memerintah Sudan kepada rakyatnya yang perkasa," katanya.

Burhan berterima kasih kepada Hamdok atas khidmatnya dan berikrar bahawa 'pilihan raya bebas dan telus' akan diadakan sebagai sebahagian daripada proses peralihan.

"Beliau bersabar dengan kami sehingga kami mencapai saat ini," kata Burhan sebelum bergambar dengan Perdana Menteri yang dilantik semula dan timbalannya sendiri, Mohamed Hamdan Daglo, ketua Pasukan Sokongan Pantas separa tentera.

Perjanjian itu disambut baik oleh Kesatuan Afrika (AU), PBB, Sweden serta Arab Saudi dan Mesir yang mempunyai hubungan kukuh dengan tentera Sudan.

AU berkata ia adalah 'langkah penting ke arah pengembalian kepada perintah Perlembagaan'.

PBB menekankan 'keperluan untuk melindungi perintah Perlembagaan untuk menjaga kebebasan asas tindakan politik, kebebasan bersuara dan perhimpunan aman'.

Norway, yang telah terbabit dalam perbincangan krisis sejak rampasan kuasa, menggesa 'langkah membina keyakinan konkrit'.

Namun, beribu-ribu orang berhimpun sekali lagi di Khartoum dan di seluruh Sudan semalam, dan dihalang di ibu negara oleh pasukan keselamatan yang melepaskan gas pemedih mata.

Polis menafikan melepaskan peluru hidup dan menegaskan mereka telah menggunakan 'kekuatan minimum' untuk menyuraikan protes.

Mereka telah merekodkan hanya satu kematian dalam kalangan penunjuk perasaan, di utara Khartoum.

Blok awam utama yang menerajui protes anti-Bashir dan menandatangani perjanjian perkongsian kuasa 2019 dengan tentera menolak sekeras-kerasnya perjanjian semalam. - AFP

Berita Harian X