Rabu, 15 September 2021 | 11:59am
Kesatuan Afrika merayu pihak pengeluar vaksin untuk memberikan akses adil bagi pasaran vaksin COVID-19 kepada negara di benua itu. - Foto AFP
Kesatuan Afrika merayu pihak pengeluar vaksin untuk memberikan akses adil bagi pasaran vaksin COVID-19 kepada negara di benua itu. - Foto AFP

Afrika rayu dibenarkan beli vaksin COVID-19

GENEVA: Afrika mahu membeli vaksin COVID-19, daripada terus menunggu bagi ketibaan vaksin yang diderma, menurut Kesatuan Afrika (AU) semalam.

AU merayu kepada pihak pengeluar vaksin untuk memberikan akses adil bagi pasaran vaksin kepada negara di benua itu.

AU juga menggesa supaya negara pengeluar menarik balik sekatan eksport supaya benua itu dapat menangani sendiri ketidaksamaan ketara dalam akses kepada vaksin coronavirus.

Ia tatkala sebahagian besar dos vaksin diperuntukkan bagi negara kaya.

"Perkongsian vaksin adalah baik. Namun, kami tidak seharusnya hanya bergantung pada perkongsian vaksin," kata rombongan khas COVID-19 AU, Strive Masiyiwa ke sidang media di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva.

"Kami mahu membelinya daripada pengeluar yang sama.

"Pengeluar utama vaksin COVID-19 mempunyai tanggungjawab moral bagi memastikan akses sama rata untuk mengakhiri pandemik," katanya menjelaskan namun 'pengeluar sedemikian sedar bahawa mereka tidak memberikan akses betul kepada kami'.

Hanya sembilan dos vaksin diberikan bagi setiap 100 penduduk di Afrika, menurut kiraan AFP.

Perangkaan itu kekal sebanyak 118 dos bagi setiap 100 penduduk di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada; 104 di Eropah; 85 di Asia; 84 di Amerika Latin dan Caribbean; 69 di Oceania dan 54 di Timur Tengah.

Negara Afrika 'ditinggalkan oleh seantero dunia'," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Ketua agensi kesihatan PBB itu juga mengetengahkan bahaya meminggirkan Afrika dari segi mendapat akses kepada vaksin.

"Ini bukan sahaja menjejas penduduk Afrika, ia menjejas kita semua.

"Lebih lama ketidaksamaratan vaksin ini berlarutan, virus ini akan terus menular dan berubah, lebih lama gangguan sosial dan ekonomi akan berterusan, dan lebih banyak peluang bagi varian lain muncul dan menjejas keberkesanan vaksin," katanya. - AFP

Berita Harian X