Khamis, 11 Ogos 2022 | 3:46pm
Noh (tengah) bersama Aria (dua dari kanan) melancarkan simbolik perasmian SME Bank XCESS 2022 dan Umbrella SME Bank -NSTP/Hazreen Mohamad
Noh (tengah) bersama Aria (dua dari kanan) melancarkan simbolik perasmian SME Bank XCESS 2022 dan Umbrella SME Bank -NSTP/Hazreen Mohamad

SME Bank buka peluang PKS tembusi pasaran global

KUALA LUMPUR: SME Bank, melalui Program Jaringan SME Bank XCESS 2022 membuka peluang baharu kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menembusi pasaran antarabangsa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail, berkata bagi merealisasikannya, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu menjalin kerjasama dengan rakan perbankan dari Thailand dan Jepun di bawah teras kerjasama melangkaui sempadan.

Beliau berkata, ia membolehkan SME Bank melaksanakan program pemerkasaan eksport perniagaan tempatan dengan lebih komprehensif.

"Kami cuba memasukkan elemen baharu pada setiap edisi dan pada tahun ini, SME Bank XCESS 2022 membawa penyertaan rakan-rakan usahawan dari luar negara seperti Thailand dan Jepun.

"Selain itu, peserta juga berpeluang menerokai peluang baharu melalui platform dalam talian ASEAN Access, portal yang berfungsi sebagai akses untuk PKS ASEAN mendapatkan maklumat mengenai perdagangan dan peluang ke pasaran negara ASEAN.

"Usaha ini adalah untuk membantu usahawan PKS tempatan yang berminat,

mencari tapak menembusi pasaran antarabangsa. Kami juga membuka peluang kepada usahawan di luar sana untuk menembusi pasaran sama ada secara perkongsian atau persendirian," katanya selepas majlis perasmian SME Bank XCESS 2022 dan Umbrella SME Bank.

Majlis dirasmikan oleh Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar.

Aria berkata, struktur SME Bank XCESS 2022 turut diperkemaskan lagi dengan empat teras tambahan iaitu akses kepada pembiayaan dan program pembangunan usahawan serta perkhidmatan menyeluruh yang ditawarkan termasuk Assets Link, Perkhidmatan Takaful dan HalalXcess.

Beliau berkata, sebagai nilai tambah, SME Bank XCESS 2022 turut memberi ruang kepada usahawan untuk menyertai Program Umbrella SME Bank serta Program Pembangunan Vendor Bumiputera yang diterajui oleh KUSKOP

Katanya, program Umbrella SME Bank pula adalah satu bentuk kerjasama antara SME Bank dan syarikat besar yang dikenali sebagai 'anchor' yang membolehkan usahawan menyertai satu model perniagaan yang telah bertapak kukuh dalam pasaran, sekali gus mengurangkan risiko kegagalan perniagaan.

Bagi tahun ini, lapan syarikat 'anchor' dipilih iaitu Ramly Food Processing Sdn Bhd, Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd, Ayamas Shoppe Sdn Bhd, Chatime Malaysia; Bubblebee Sdn Bhd, Petro Teguh (M) Sdn Bhd,

Bateriku (M) Sdn Bhd dan Prowheels Distributor.

"Peserta program akan dibiayai oleh SME Bank dan turut berpeluang

mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat secara percuma daripada Centre For Entrepreneur Development And Research Sdn Bhd (CEDAR)," katanya.

Berita Harian X