KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia telekomunikasi (telco) tempatan komited untuk memainkan peranan penting dalam menyokong agenda kerajaan untuk menjadikan kesalinghubungan sebagai perkhidmatan utiliti asas dan boleh diakses oleh semua pihak.
Maxis dalam satu kenyataan berkata, ia menyambut baik pengumuman Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengenai Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap yang akan menawarkan akses perkhidmatan jalur lebar mampu milik kepada segmen sasaran.
"Syarikat telco ini percaya ia adalah inisiatif penting dan tepat pada masanya untuk membantu rakyat Malaysia kekal di hadapan dalam persekitaran yang semakin digital untuk masa lapang, pekerjaan, pendidikan dan hiburan.
"Butiran mengenai pelaksanaan Pakej Perpaduan ini akan dikeluarkan tidak lama lagi," katanya.
Seiring dengan konsep Malaysia Madani, pakej itu akan menawarkan perkhidmatan Internet dengan kelajuan sehingga 30 megabit sesaat bersama data tanpa had berharga RM69 sebulan.
Pakej itu yang akan mula ditawarkan pada Mac ini menyasarkan kumpulan B40, veteran, orang kurang upaya dan warga emas untuk mengakses perkhidmatan jalur lebar dengan harga lebih rendah.
CelcomDigi dalam satu kenyataan turut menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup, terutamanya bagi perkhidmatan Internet kepada masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan melalui inisiatif Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap.
Kumpulan berkenaan berkata, ia akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Digital untuk mengumumkan tawaran ini tidak lama lagi sejajar dengan aspirasi dalam memacu akses mampu milik merentasi semua segmen serta lapisan masyarakat.
Sementara itu, TIME dotCom (Time) berkata, ia akan menyediakan pelan Pakej MyKabel 100Mbps kepada penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan liputan Time.
Di bawah pelan Pakej MyKabel, rebat bulanan RM30 akan ditawarkan bagi pelan standard 100Mbps, yang berharga RM99 sebulan, menjadikannya komitmen bulanan hanya sebanyak RM69 sepanjang tempoh kontrak.
"Langkah ini selaras dengan inisiatif Pakej Perpaduan, yang dialu-alukan dan disokong sepenuhnya oleh Time," katanya.
Pelan Pakej MyKabel 100Mbps menawarkan data tanpa had dengan kelajuan muat naik dan turun simetri termasuk penghala untuk kontrak 24 bulan.
Pelan itu sekarang tersedia di PPR Kampung Baru HICOM, PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang, PPR Taman Putra Damai serta PPR Kerinchi, semuanya di Selangor dan Kuala Lumpur manakala lokasi lain termasuk PPR UDA Utama, PPR Taman Perling (Jalan Rawa 1) dan PPR Taman Perling (Jalan Rawa 7) di Johor.
"Time akan terus melancarkan penawaran bersasar ini secara berperingkat ke lokasi terpilih bagi menyediakan akses Internet gigabit kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Tawaran ini boleh didapati bermula Mac hingga Disember 2023," katanya.
U Mobile dalam kenyataannya berkata, inisiatif berkenaan turut seiring dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kami menyambut baik pengumuman Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap berikutan ia membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia tampil berdaya saing secara digital sama ada dalam pembelajaran, pekerjaan atau kegiatan waktu lapang.
"Kami sentiasa bekerjasama dengan kerajaan untuk menawarkan kesalinghubungan berkualiti, mampu milik dan boleh diakses sekali gus gembira menjadi sebahagian daripada Pakej Perpaduan Prabayar yang akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang layak mulai 28 Februari 2023," katanya.
Menurutnya, maklumat terperinci berkenaan pakej prabayar itu akan diumumkan menjelang ketibaan tarikh pelancaran.