Selasa, 1 November 2022 | 12:22pm
Teknologi 5G akan memantapkan lagi kedudukan TM sebagai peneraju dalam perkhidmatan konvergens talian tetap dan mudah alih
Teknologi 5G akan memantapkan lagi kedudukan TM sebagai peneraju dalam perkhidmatan konvergens talian tetap dan mudah alih

TM lancar fasa pertama perkhidmatan 5G

Telekom Malaysia Bhd (TM) melancarkan perkhidmatan fasa pertama 5G untuk pelanggan Unifi Mobile dan perniagaan, dalam usaha mempercepatkan penggunaan teknologi alaf baharu itu di Malaysia.

Pelancaran itu adalah susulan termeterainya Perjanjian Akses dengan Digital Nasional Bhd (DNB) pada Ahad lalu, sekali gus membolehkan TM melancarkan fasa pertama perkhidmatan 5G bermula semalam dengan menawarkan data 5G tanpa had kepada pelanggan pascabayar Unifi Mobile sedia ada, serta pelanggan pascabayar dan prabayar baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar, berkata Perjanjian Akses DNB menyediakan platform kepada semua syarikat telekomunikasi untuk mengakses rangkaian 5G secara sama rata bagi membawakan perkhidmatan inovatif yang lebih luas.

"Memanfaatkan akses sama rata 5G ini dan himpunan ketersambungan serta penyelesaian digital kami, TM akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melonjakkan inovasi dan transformasi digital di peringkat nasional, sejajar dengan program digital utama seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan MyDigital untuk meletakkan Malaysia secara kompetitif sebagai sebuah hab teknologi.

"Teknologi 5G akan memantapkan lagi kedudukan TM sebagai peneraju dalam perkhidmatan konvergens talian tetap dan mudah alih untuk segmen pengguna serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mengukuhkan keupayaan mudah alih kami untuk menyediakan penyelesaian semua-dalam-satu yang terluas dan terpantas untuk jalur lebar tetap, perkhidmatan mudah alih dan kandungan digital yang memenuhi keperluan kehidupan dan pekerjaan digital masa kini," katanya dalam satu kenyataan.

Menyedari antara faktor kritikal dalam penggunaan 5G ialah kesediaan pelanggan untuk membeli peranti baharu berkeupayaan 5G, Unifi Mobile juga akan menawarkan pelan perkhidmatan berserta peranti 5G, yang menawarkan peranti merangkumi pelbagai harga sebagai pilihan, untuk memastikan kemampuan pengguna dari semua latar belakang.

Menurut Imri, dengan 5G kini meliputi lebih daripada 33 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia, fasa pertama adalah penting untuk TM meluaskan capaiannya dan memberi peluang menawarkan perkhidmatan konvergens yang kini dinikmati oleh tiga juta pelanggan kediaman dan hampir 400,000 PMKS.

"5G juga akan mengukuhkan Unifi sebagai rakan digital pilihan untuk PMKS, dengan menawarkan perkhidmatan sehenti yang lengkap untuk memacu pertumbuhan perniagaan mereka.

"Tambahan lagi, melalui TM One, cabang perusahaan dan sektor awamnya, TM baru-baru ini melancarkan 5G Sphere, himpunan rakan kongsi teknologi dan penyelesaian pintar untuk membentuk ekosistem yang akan mempercepatkan penciptaan bersama kes gunaan inovatif 5G, dan merealisasikan idea transformasi perusahaan menggunakan 5G," katanya.

Sehingga kini, terdapat 39 rakan kongsi dalam program itu.

Beliau berkata, usaha TM bersama kerajaan juga akan mempercepatkan ketersediaan bandar pintar, industri pintar dan aplikasi berdaya 5G, mewujudkan masyarakat dan ekonomi digital yang lebih mampan dan inklusif.

"Pada masa yang sama, TM terus berusaha untuk memantapkan seni bina rangkaian fiber negara, menyepadukan teknologi automasi dan virtualisasi untuk meningkatkan infrastruktur yang akan menyokong jangkaan permintaan untuk perkhidmatan dan keupayaan 5G," katanya.

Sebelum pelancaran komersialnya, TM mengorak langkah meningkatkan keupayaan 5G untuk mengembangkan kedudukan perniagaan mudah alih serta konvergens talian tetap dan mudah alih, termasuk melantik Jasmine Lee sebagai Naib Presiden Eksekutif, Mudah Alih dan Ketua Pegawai Eksekutif webe, serta melantik bakat berpengalaman dalam bidang mudah alih untuk mengukuhkan inovasi dan daya saing.

Berita Harian X