Ahad, 4 September 2022 | 12:51pm
Mohammad (tengah) bersama Baharin (dua dari kiri) dan Idham (empat dari kiri) pada majlis memeterai MoU antara Celcom dan Allo di Putrajaya - Foto ihsan Celcom
Mohammad (tengah) bersama Baharin (dua dari kiri) dan Idham (empat dari kiri) pada majlis memeterai MoU antara Celcom dan Allo di Putrajaya - Foto ihsan Celcom

Celcom, Allo bekerjasama perkukuh khidmat telekomunikasi

PUTRAJAYA: Celcom Axiata Bhd (Celcom) menjalin kerjasama strategik dengan Allo Technology Sdn Bhd (Allo), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk meneroka kerjasama bagi pelaksanaan dan pembangunan perkhidmatan berkaitan telekomunikasi.

Kerjasama itu akan memberi fokus kepada aspek gentian, daya tahan rangkaian, kesalinghubungan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Internet Kebendaan (IoT), 5G dan penyelesaian pintar.

Ia juga akan membolehkan pelancaran infrastruktur gentian yang lebih pantas daripada Allo, pakar bagi kesalinghubungan fiber optik yang terkemuka dan pada masa sama memudahkan penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan perindustrian yang disasarkan, stesen pangkalan rangkaian dan gentian di tapak terpilih Celcom.

Malah, kerjasama itu juga akan mempercepatkan pembangunan bandar pintar dan mewujudkan masa depan yang lebih cerah buat negara Malaysia melalui kesalinghubungan digital oleh kedua-dua pihak.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek, berkata

dalam mewujudkan ekosistem digital yang baik, kerjasama pelbagai sektor termasuk awam dan swasta perlu dijalinkan bagi mencapai hasrat seperti yang digariskan dalam perancangan kerajaan bagi kepentingan rakyat.

"Usaha sebegini perlu diteruskan kerana tentunya kerjasama antara syarikat korporat mampu mendatangkan hasil yang memberi impak tinggi kepada rakyat dan negara," katanya.

Memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom Axiata, Afizulazha Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Allo Technology, Ir Mohamed Ghous Ahmad di sini, baru-baru ini.

Sesi pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Mohammad bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Idham Nawawi.

Sementara itu, Baharin berkata, TNB melalui Allo komited sepenuhnya untuk mempergiatkan usaha yang dapat memberi manfaat kepada pemulihan ekonomi negara dan menyokong inisiatif kerajaan bagi menjadikan kehidupan lebih baik dan lebih cerah buat seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata, menerusi infrastruktur gentian optik milik TNB sepanjang lebih 25,000 kilometer, Allo mempunyai liputan di seluruh Semenanjung bagi menyokong pelaksanaan kesalinghubungan jalur lebar dengan pantas dan berkesan kos.

Katanya, pihaknya percaya bahawa sektor ekonomi digital adalah kritikal kepada masa depan kemajuan ekonomi Malaysia dengan menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

"Peranan kami sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara turut berkait rapat dengan pelaksanaan rangkaian kesalinghubungan yang moden, berdaya harap dan meluas seperti yang digariskan dalam MoU antara Allo dan Celcom.

"Hanya melalui ekosistem kesalinghubungan kukuh yang ditawarkan oleh Allo dan Celcom, ia mampu memacu pembentukan nilai yang menyeluruh ke segenap lapisan industri, pembentukan bandar pintar dan seterusnya keupayaan untuk mengubah landskap sosio-ekonomi negara," kata Baharin.

Idham pula menyifatkan kerjasama strategik antara Celcom dan Allo akan memanfaatkan kekuatan daripada kedua-dua organisasi ke arah memacu pendigitalan merentas rumah dan perusahaan bagi rakyat Malaysia serta meningkatkan kecekapan operasi rangkaian yang ketara.

Beliau berkata, peluang bagi menyediakan kesalinghubungan fiber yang berkualiti tinggi dan mampu milik kepada kediaman di seluruh negara adalah meluas melalui perkongsian itu.

Katanya, kedua-dua pihak boleh memainkan peranan dan memberi impak yang besar ke arah mendigitalkan masyarakat Malaysia.

"Kekuatan Celcom dengan rangkaian mudah alih terluas serta potensi jangkauan fiber Allo melalui infrastruktur TNB memberi kolaborasi ini dunia peluang baharu," katanya.

Kerjasama itu juga akan membolehkan usaha daripada Allo dan Celcom untuk memacu kesalinghubungan dan pendigitalan merentas industri dengan penyelesaian teknologi dan perkhidmatan berkenaan Keselamatan Siber ICT, Cloud, Pusat Data dan Perkhidmatan Terurus serta penyelesaian bagi bandar pintar yang menggunakan perkhidmatan IoT.

Allo beroperasi menggunakan infrastruktur yang berdaya tahan melalui Allo Carrier Network System (ACNS) bagi perkhidmatan tanpa kompromi yang memberikan ketersediaan, kelajuan dan daya harap yang luar biasa serta dicipta untuk penyelesaian berprestasi tinggi.

Berita Harian X