X
Selasa, 16 Ogos 2022 | 6:11pm

Muat turun 5G: Kuala Lumpur kedua terpantas selepas Seoul

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur menjadi bandar teratas dalam aspek kelajuan muat naik 5G dan berada di tempat kedua di belakang Seoul dari segi muat turun dalam kalangan 11 bandar besar di Asia Pasifik (APAC).

Menurut laporan terkini Opensignal, Kuala Lumpur mendahului bandar besar termasuk Seoul, Taipei, Auckland, Hong Kong dan Tokyo dengan kepantasan muat naik 5G pada 52.8Mbps (megabait sesaat).

Dari aspek muat naik pula, Kuala Lumpur memiliki kelajuan 376.6 Mbps di belakang Seoul dengan 453.1Mbps.

Dalam laporan penganalisis dan rangkaian pasaran bertajuk 'Pengalaman 5G di bandar terbesar APAC' menunjukkan kepantasan muat turun di Kuala Lumpur, 20.3 peratus atau 76.5Mbps kurang berbanding Seoul.

Opensignal mengaitkan perkembangan itu dengan situasi pasaran 5G khusus di Malaysia yang mana hanya satu operator telekomunikasi sudah menggunakan rangkaian borong 5G daripada Digital Nasional Bhd (DNB).

"Syarikat telekomunikasi utama yang menggunakan rangkaian 5G DNB adalah Yes yang secara relatifnya melancarkan rangkaian 5G secara komersial pada Mei 2022.

"Keadaan ini menyaksikan DNB kini beroperasi dengan pengguna yang rendah dan beban yang lebih ringan berbanding kebanyakan rangkaian 5G di bandar di seluruh rantau ini," demikian menurut laporan itu.

Laporan Opensignal juga menunjukkan skor nisbah peningkatan kelajuan muat turun Kuala Lumpur berada pada 19.0, meninggalkan bandar utama lain di rantau ini jauh di belakang, seperti Manila di tempat kedua (7.3) dan Bangkok di tempat ketiga (6.8).

Ia juga berkata bahawa skor peningkatan kelajuan muat turun Kuala Lumpur adalah 19 kali lebih tinggi daripada rangkaian 4G.

"Meskipun masih awal pelaksanaan 5G di Malaysia, penduduk Kuala Lumpur memperlihatkan perbezaan besar dalam purata kelajuan muat turun apabila mereka menggunakan 5G berbanding 4G," kata laporan itu.

Sementara itu, menurut Opensignal, dari segi capaian dan ketersediaan 5G, kedudukan Kuala Lumpur dalam laporan berkenaan agak lemah, sekali gus menunjukkan bahawa perjalanan Malaysia dari segi penggunaan 5G masih jauh.

Ketersediaan 5G Malaysia yang merujuk kepada peratusan masa pengguna disambungkan ke rangkaian berada hanya pada 10.9 peratus, kedudukan keempat terbawah dalam kalangan 11 bandar besar APAC.

Dari segi jangkauan 5G yang merujuk kepada kekerapan pengguna dapat mencari isyarat 5G di lokasi yang mereka lawati, Kuala Lumpur berada di tempat kedua terakhir pada 2.5 pada skala 10 mata, hanya di hadapan Jakarta pada 0.6.

"Daripada bandar yang telah kami analisis, Jakarta, Kuala Lumpur, Auckland dan Tokyo berada di bahagian terbawah dalam kedua-dua carta bagi ketersediaan 5G dan jangkauan 5G," menurut Opensignal.

Berita Harian X