Jumaat, 12 Ogos 2022 | 3:29pm
Tengku Zafrul berucap menerusi rakaman video pada taklimat media Google Cloud di Kuala Lumpur -NSTP/Owee Ah Chun
Tengku Zafrul berucap menerusi rakaman video pada taklimat media Google Cloud di Kuala Lumpur -NSTP/Owee Ah Chun

Google Cloud tubuh rantau awan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Google Cloud bercadang menubuhkan rantau awan atau 'cloud region' pertama di Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk perkhidmatan awan yang semakin meningkat di Malaysia dan seluruh dunia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata rantau awan di Malaysia akan menawarkan kemampuan bergred perusahaan yang diperlukan oleh organisasi tempatan bagi mempercepatkan transformasi digital dan mencipta kelebihan daya saing baharu.

Katanya, ia bakal memperkukuhkan komitmen Google Cloud menyokong rancangan kerajaan untuk fasa pembangunan ekonomi negara yang berikutnya selepas Malaysia serius mencapai cita-cita digital, termasuk pelaksanaan 5G bagi melonjakkan keupayaan teknologi ke peringkat seterusnya.

"Cadangan penubuhan rantau awan baharu di Malaysia oleh Google Cloud bukan hanya akan melengkapkan inisiatif digital negara, malah dapat memperkasakan perniagaan dan individu untuk mencapai lebih banyak lagi secara langsung melalui sumber pengkomputeran.

"Dengan sektor awam telah pun menerajui strategi yang mengutamakan awan dan menjimatkan kos untuk membangunkan perkhidmatan yang berpaksikan rakyat, kami yakin bahawa sektor swasta akan mengikutinya untuk memanfaatkan pemboleh seperti Google Cloud mendapat peluang pertumbuhan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan menerusi rakaman video pada taklimat media Google Cloud di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo; Pengarah Urusan Google Cloud bagi Asia Tenggara, Ruma Balasubramanian; dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.

Penyelidikan dijalankan oleh AlphaBeta yang ditauliahkan oleh Google mendapati bahawa transformasi digital jika dimanfaatkan sepenuhnya boleh menghasilkan RM257.2 bilion (AS$61.3 bilion) dalam nilai ekonomi tahunan di Malaysia menjelang 2030 atau bersamaan 17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020.

Rantau awan Malaysia akan menyertai 11 rantau sedia ada Google Cloud di Asia Pasifik dan Jepun, termasuk dua di Asia Tenggara iaitu Singapura dan Jakarta.

Dengan 34 wilayah dan 103 zon yang sedang beroperasi di seluruh dunia, rangkaian global rantau awan Google Cloud menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan dari semua saiz, bermula daripada agensi sektor awam dan perusahaan besar hinggalah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula niaga.

Di peringkat global, Google Cloud baru-baru ini turut mengumumkan rancangan untuk menambah rantau awan di New Zealand, Mexico dan Thailand, yang bakal menyertai lima rantau yang akan datang iaitu Berlin, Dammam, Doha, Tel Aviv serta Turin.

Apabila dilancarkan, rantau awan Malaysia akan menawarkan perkhidmatan berprestasi tinggi dan kependaman rendah kepada organisasi tempatan, dengan tiga zon yang menawarkan perlindungan terhadap gangguan perkhidmatan.

Organisasi juga boleh memanfaatkan kawalan utama yang membolehkan ia mengekalkan piawaian keselamatan, pemastautin data dan pematuhan tertinggi, termasuk keperluan penyimpanan data tertentu.

Rantau awan itu akan dilengkapi oleh lokasi Dedicated Cloud Interconnect sedia ada Google Cloud di Cyberjaya dan Kuala Lumpur, yang menyediakan sambungan terus antara rangkaian di premis organisasi dan rangkaian global Google Cloud.

Berita Harian X