Isnin, 27 Jun 2022 | 8:47am
5G bakal merancakkan lagi penggunaan dan penerapan teknologi di Malaysia - Foto BERNAMA
5G bakal merancakkan lagi penggunaan dan penerapan teknologi di Malaysia - Foto BERNAMA

Sasaran 80 peratus liputan 5G mampu dicapai

KUALA LUMPUR: Ericsson dan Digital Nasional Bhd (DNB) berada dalam landasan kukuh untuk mencapai kira-kira 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2024, dengan rangkaian itu kini disediakan di beberapa kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

Naib Presiden dan Ketua Sumber Manusia Ericsson Asia Tenggara, Oceania dan India (MAOI), Priyanka Anand, berkata pihaknya bertekad untuk terus menyokong DNB dalam menyediakan keterhubungan 5G bertaraf dunia dan mampu milik kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, 5G bakal merancakkan lagi penggunaan dan penerapan teknologi di Malaysia, termasuk bidang kecerdasan buatan , pembelajaran mesin, internet semua benda (IoT) serta robotik.

Katanya, ia membolehkan perniagaan dan usahawan membangunkan penyelesaian baharu berdasarkan rangkaian itu, di samping membantu negara menyambut Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

"Selain itu, ia membantu merapatkan jurang digital menerusi penggunaan teknologi seperti akses tanpa wayar tetap untuk menyediakan

ketersambungan ultra pantas sehingga ke kawasan terpencil," katanya kepada BH.

Tarikh akhir bagi syarikat telekomunikasi Malaysia memutuskan sama ada mengambil alih kepentingan dalam DNB kekal akhir bulan ini.

DNB dan syarikat telekomunikasi telah diminta memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 Jun.

Mengulas lanjut, Priyanka berkata, 5G adalah pencetus revolusi bagi perniagaan serta pekerja kerana kemajuan teknologi akan merintis jalan kepada kecekapan baharu serta produktiviti lebih tinggi.

Namun, tegasnya tenaga kerja bersesuaian amat diperlukan untuk memacu pelaksanaan yang berkesan.

Beliau menjelaskan, sungguhpun kemahiran teknikal seperti kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, automasi, rantaian blok, pengkomputeran awan, IoT dan sains data penting untuk mewujudkan tenaga kerja berkemahiran 5G, semua ini hanya sebahagian kecil daripada gambaran keseluruhan.

"Lebih penting, kami percaya tenaga kerja 5G amat menuntut kemahiran insaniah yang menjurus kepada pemikiran reka bentuk, kerja maya, keusahawanan, kreativiti, komunikasi dan keterbukaan.

"Ini sebenarnya bukan kemahiran yang dapat dipelajari melalui teori atau pensijilan, sebaliknya memerlukan pendekatan lebih manusiawi. Kemahiran ini mustahak dalam pembangunan tenaga kerja mampu diri yang berupaya memacu potensi maksimum keupayaan 5G," katanya.

Priyanka berkata, bagi membina tenaga kerja mahir, berdaya tahan dan bersedia, setiap rakyat Malaysia wajar memainkan peranan untuk membantu negara bersiap sedia menerapkan 5G sepenuhnya ke dalam kehidupan harian.

Katanya, ini bermakna, tenaga kerja memerlukan peningkatan kemahiran dan latihan semula.

"Selain itu, organisasi perlu memastikan tenaga kerja sentiasa bersedia untuk menerima teknologi dan keupayaan generasi akan datang.

"Kejayaan integrasi 5G bergantung pada bimbingan dan pembangunan bakat generasi baharu untuk sama-sama menghasilkan satu ekosistem yang mampu menemukan potensi maksimum 5G," katanya.

Menurut ramalan Ericsson, dua pertiga dunia dijangka akan bergantung pada liputan 5G menjelang 2030.

Sementara itu, laporan oleh Forum Ekonomi Dunia mendapati 85 juta pekerjaan dijangka pupus akibat perkongsian tugasan antara manusia dengan mesin menjelang 2025.

Bagaimanapun, laporan itu juga menyatakan 97 juta jenis peranan baharu bakal muncul seiring dengan pembahagian tugasan antara manusia, mesin dan algoritma.

Sehubungan itu, 5G adalah penyelesaian kos efektif dan jaminan masa depan untuk menangani jurang digital.

Rangkaian 5G yang boleh dipercayai, berdaya tahan dan selamat akan membentuk asas bagi ekosistem digital yang pesat, dengan adanya peningkatan akses kepada internet dan perkhidmatan terhubung yang berkualiti tinggi seperti pendidikan, kesihatan dan pertanian.

Berita Harian X