Rabu, 22 Jun 2022 | 7:43pm
Gambar fail. - AFP
Gambar fail. - AFP

Jualan konsol Xbox X/S buat pertama kali atasi PS5

KUALA LUMPUR: Konsol permainan Microsoft Xbox Series X/S (Xbox X/S) mengatasi Sony PlayStation 5 (PS5) buat kali pertama daripada aspek jualan global pada suku pertama tahun inisejak kedua-dua model itu diperkenalkan pada November 2020.

Konsol Xbox X/S dijual sebanyak 2.2 juta unit di seluruh dunia pada tiga bulan pertama tahun ini, meninggalkan PS5 dengan jualan 2.0 juta unit.

Bagaimanapun, versi terkini konsol permainan terkemuka itu jauh ketinggalan di belakang Nintendo Switch dengan jualan 4.11 juta unit pada suku pertama 2022.

Bahagian penyelidikan TradingPedia yang khusus dalam pasaran konsol permainan mendedahkan, jualan PS5 lebih rendah berbanding Xbox X/S buat kali pertama sejak kedua-dua konsol itu diperkenalkan.

"Jualan Sony 200,000 unit lebih rendah berbanding Microsoft pada suku pertama tahun ini. Xbox X/S meninggalkan PS5 dengan jurang yang besar dalam tempoh itu.

"Bagaimanapun, kedua-dua konsol permainan terkemuka itu jauh ditinggalkan Nintendo menerusi konsol Switch dengan 4.11 juta unit pada tiga bulan pertama tahun ini," katanya.

Konsol permainan PS5 dan Xbox X/S dilancarkan pada November 2020 di tengah-tengah gelombang awal COVID-19.

Situasi perang di Ukraine telah membawa cabaran yang tidak dapat dilihat kepada proses pengeluaran dan logistik peranti canggih itu.

Sony mengakui, pandemik dan pencerobohan Russia menyebabkan jualan PS5 kurang daripada PS4 pada tahun kedua kitaran hayatnya susulan kekangan bekalan.

Syarikat itu menetapkan isu berkenaan sebagai 'Keutamaan Paling Penting' dan merancang untuk menyelesaikannya menerusi dua strategi.

Pertama, penyumberan daripada pelbagai pembekal bagi memastikan ia berdaya tahan dalam pasaran yang tidak stabil.

Kedua, Rundingan logistik yang berterusan untuk mengekalkan laluan penghantaran PS5 yang optimum.

Bagaimanapun, Microsoft dilihat mungkin telah mengambil pendekatan lebih praktikal bagi mencapai penyelesaian di mana ia dapat dilihat menerusi data jualan.

Pengasas Bersama XboxEra, Nick Baker ketika mengumumkan maklumat dalam podcastnya awal tahun ini, mendedahkan pada April 2021 beliau menerima 'petua' daripada sumber yang tidak dinyatakan bahan 'akan ada lebih banyak bekalan konsol Xbox akhir tahun lalu'.

Apa yang dikatakan Baker secara asasnya merujuk bahawa 'Microsoft membuat bayaran bagi menjadikannya keutamaan bekalan cip di kilang' bagi mendapatkan akses awal kepada kumpulan cip baharu.

"Saya tidak dapat mengesahkan khabar angin bahawa Microsoft membayar untuk akses keutamaan cip tetapi mereka pasti berada dalam kedudukan yang baik untuk berbuat demikian dan data nampaknya menunjukkan apa yang telah mereka lakukan.

"Sehingga penghujung suku ketiga 2021, jurang jualan antara unit global PS5 dan Xbox X/S meningkat secara berterusan sebanyak lebih sejuta unit setiap suku tahun yang memihak kepada Sony.

"Bagaimanapun, trend berkenaan terhenti secara tiba-tiba menyaksikan Microsof menjual kira-kira 200,000 unit lebih banyak daripada Sony. Suku tahun semasa agak setanding dan kami perlu menunggu data Jun untuk membuat kesimpulan," kata Penganalisis TradingPedia, Brian McColl.

Sementara itu, Sony dan TSMC mempertimbang untuk mewujudkan kilang bersama di Jepun bagi mengekang kekurangan cip dengan kerajaan Jepun bersedia menyuntik pelaburan sehingga AS$7.15 bilion (RM31.43 bilion).

Berita Harian X