Jumaat, 10 Jun 2022 | 3:09pm
Allo Technology Sdn Bhd (Allo)
Allo Technology Sdn Bhd (Allo)

Allo sasar 300,000 premis dapat internet

KUALA LUMPUR: Allo Technology Sdn Bhd (Allo) menyasar 300,000 premis mempunyai kebolehcapaian internet menerusi pelaksanaan rangkaian infrastruktur gentian optik di Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohamed Ghous Ahmad, berkata Allo, anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), mampu merealisasikan pelaksanaan projek itu dengan kos perbelanjaan yang rendah dan pantas berikutan ketersediaan infrastruktur TNB.

Katanya, inisiatif itu adalah untuk merealisasikan aspirasi TNB sebagai pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa, sejajar dengan matlamat kerajaan di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"Di bawah JENDELA, kami menyediakan perkhidmatan Akses Terbuka di bawah kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), yang membolehkan pembekal perkhidmatan runcit memperluaskan rangkaian mereka ke kawasan-kawasan yang belum mempunyai capaian bagi merapatkan jurang digital.

"Jadi, mereka tidak perlu membuat pelaburan ataupun membelanjakan modal yang besar untuk membina rangkaian. Semua ini berupaya dilakukan kerana Allo memanfaatkan infrastruktur sedia ada TNB di kawasan-kawasan yang belum mempunyai capaian agar kos operasi menjadi lebih efektif dengan perbelanjaan modal yang rendah," katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.

Menurutnya, infrastruktur Allo yang menggunakan teknologi kalis masa depan, membolehkan semua pihak meneroka sepenuhnya penggunaan teknologi semasa.

"Jadi, mereka (pembekal perkhidmatan runcit) tidak dibebankan dengan kos operasi yang tinggi dan akhirnya meringankan kos yang akan dikenakan kepada pengguna. Dengan itu, mereka mampu menawarkan perkhidmatan terbaik pada harga yang berpatutan," katanya.

Beliau berkata, konsep itu turut memberi peluang kepada pengguna untuk memilih pembekal perkhidmatan runcit selain membolehkan Allo bekerjasama dengan pihak tertentu untuk mempertingkatkan keupayaan jalur lebar selaras dengan permintaan semasa.

Menurutnya, selain penawaran melalui konsep Akses Terbuka, Allo turut menawarkan kepakaran bagi menyokong inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan 5G yang memerlukan menara-menara telekomunikasi dihubungkan dengan rangkaian gentian optik bagi menyalurkan data pada kadar yang lebih pantas.

Beliau berkata, sehingga kini Allo berjaya menghubungkan lebih 180,000 premis di Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dengan sambungan jalur lebar gentian optik di bawah inisiatif JENDELA.

-BERNAMA

Berita Harian X