Selasa, 31 Mei 2022 | 6:20pm
Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang
Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang

Alibaba komited sedia infrastruktur awan terbaik di Malaysia

KUALA LUMPUR: Alibaba Cloud, unit awan Alibaba Group menyasar untuk terus melabur di Malaysia dengan menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan pengkomputeran awan terbaik dalam kelasnya bagi mempertingkatkan usaha transformasi digital syarikat tempatan.

Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang, berkata program Pemerkasaan Digital Alibaba Cloud akan dilancarkan dengan sumber yang ditingkatkan di Malaysia untuk lebih menyokong pendigitalan tempatan dan mempercepat ekosistem inovasi.

Program ini meliputi pelbagai aspek, termasuk pemerkasaan kredit awan, bengkel latihan dan perkhidmatan teknologi khusus, terutama menyasarkan industri utama dengan permintaan besar dalam transformasi digital seperti Internet, kewangan dan runcit.

Beliau berkata, untuk berkembang maju dalam dunia pasca-COVID-19, penting untuk perniagaan Malaysia menerapkan transformasi digital pantas ke dalam model perniagaan kalis pandemik melalui teknologi.

Sebagai penyedia perkhidmatan awan terkemuka global dengan dua pusat data tempatan, Alibaba Cloud akan terus melabur dalam pasaran ini untuk menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan pengkomputeran awan terbaik dalam kelasnya serta pengetahuan industri yang terbukti, katanya.

Kun berkata, ini untuk membolehkan pelanggan dan rakan kongsi tempatan dalam pelbagai sektor meningkatkan perniagaan mereka sepanjang perjalanan transformasi digital masing-masing.

"COVID-19 amat mengubah cara kita hidup dan bekerja, serta cara kita mengggunakan," katanya.

Alibaba Cloud, cabang utama Alibaba Group bagi teknologi digital dan kepintaran, hari ini menganjurkan Hari Internet 2022, persidangan teknologi separuh hari di sini untuk memperkukuh pendigitalan Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X