Khamis, 26 Mei 2022 | 8:52pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama Pengerusi Eksekutif YTL, Tan Sri Francis Yeoh (lima dari kiri) dan Pengarah Urusan YTL, Datuk Yeoh Seok Hong (empat dari kanan) melancarkan 'YES 5G for All' di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama Pengerusi Eksekutif YTL, Tan Sri Francis Yeoh (lima dari kiri) dan Pengarah Urusan YTL, Datuk Yeoh Seok Hong (empat dari kanan) melancarkan 'YES 5G for All' di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Asyraf Hamzah

YTL lancar pelan 5G pertama di Malaysia

KUALA LUMPUR: YTL Communications Sdn Bhd melalui YES menjadi syarikat telekomunikasi (telco) pertama di Malaysia yang melancarkan perkhidmatan 5G kepada pengguna pada harga serendah RM58 sebulan tanpa had.

Pelan 'YES 5G for All' itu menjadi pelan termurah di pasaran dan menjadi pendahulu dalam merintis masa hadapan yang dikuatkuasakan oleh 5G.

Pengarah Urusan YTL Communications, Datuk Yeoh Seok Hong, berkata pelanggan boleh mendapatkan pelan mudah alih 5G YES yang dikenali sebagai Infinite itu bermula hari ini.

Selain itu, katanya kumpulan turut memperkenalkan pelan Infinite+ yang membolehkan pengguna mendapatkan telefon pintar 5G percuma tanpa yuran pendaftaran dan kos pembayaran bulanan.

"Pada harga purata 30 sen satu gigabait (GB), pelan YES 5G ini adalah 300 peratus lebih murah daripada standard pasaran 4G serta menawarkan pelan terbaik pada harga terendah.

"Siri pelan Infinite dicipta berdasarkan keperluan dan kesesuaian pelanggan. Dengan data berkelajuan tinggi tanpa had ini, pelanggan boleh menikmati kelajuan sehingga 20 kali ganda," katanya selepas pelancaran pelan 5G Infinite di sini, hari ini.

Majlis dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Datuk Wing K Lee, berkata liputan 5G ketika sudah 90 peratus tersedia di Selangor dan Lembah Klang termasuk beberapa bandar utama di Malaysia.

Beliau berkata, liputan 5G akan meningkat kepada 40 peratus daripada keseluruhan kawasan Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Katanya, YES sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik pada harga berpatutan seiring dengan kehendak kerajaan ketika mula melaksanakan 5G di negara ini.

"5G penting kepada masa hadapan negara yang lebih baik, memberikan liputan perhubungan yang kukuh dan menyeluruh.

"Kami juga menjalin kerjasama dengan pengeluar peranti dalam menyediakan telefon pintar 5G percuma kepada pelanggan yang berdaftar dengan pelan Infinite+.

"Langkah ini dilaksanakan kerana memahami ramai pengguna masih belum mempunyai telefon pintar yang menyokong teknologi 5G. Justeru, kempen komprehensif YES adalah yang terbaik demi pengguna," katanya.

Berita Harian X