Selasa, 24 Mei 2022 | 11:05am
Malaysia antara negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G - Foto Reuters
Malaysia antara negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G - Foto Reuters

Lewat lancar 5G jejas pendapatan rakyat, PKS

KUALA LUMPUR: Kelewatan melancarkan perkhidmatan 5G di Malaysia menjejaskan perkembangan ekonomi digital yang mampu menjana pendapatan kepada negara dan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rakyat.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed, berkata kesan kelewatan melancarkan teknologi itu menjejaskan transformasi perniagaan yang berasaskan ekonomi digital disebabkan kelajuan internet terhad pada ketika ini.

"Sebagai antara negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G, adalah merugikan jika kita lambat melaksanakan penggunaan menyeluruh teknologi ini, seterusnya dipintas negara jiran.

"Contohnya, lebih banyak perniagaan dan PKS kini mula menggunakan e-dompet dalam urus niaga. Namun, disebabkan keterbatasan kelajuan internet, maka penggunaannya tidak dapat dimaksimumkan kerana jaringan internet yang tidak stabil," katanya kepada BH.

Empat syarikat telekomunikasi (telco) terbesar Malaysia dilaporkan mahu mendapatkan kepentingan majoriti dalam agensi pelaksana 5G di Malaysia, Digital Nasional Bhd (DNB), berbanding tawaran kerajaan untuk pemilikan minoriti sebelum ini.

Syarikat terbabit iaitu Celcom Axiata Bhd, DiGi Telecommunications, Maxis Bhd dan U Mobile turut dilaporkan mahu semakan semula dibuat kepada model penetapan harga dan pelan akses rangkaian 5G yang ditawarkan DNB.

Seandainya empat telco utama itu tidak menerima tawaran, mereka berisiko disingkirkan daripada pelaksanaan 5G di negara ini,

Setakat ini, hanya Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd menyatakan persetujuan untuk mendapatkan kepentingan dalam DNB.

YTL yang memiliki rangkaian YES, dijangka melancarkan rangkaian 5G untuk semua pada minggu ini.

Anuar Shah Bali berkata, masih ada sedikit masa lagi untuk telco terbabit berunding dengan DNB untuk mencapai situasi 'menang-menang' yang akhirnya boleh memberikan manfaat kepada pengguna.

"Kesan kelewatan pelaksanaan 5G akhirnya memberikan kesan kepada pengguna iaitu rakyat secara keseluruhan," katanya.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sejumlah 500 lokasi 5G telah siap di bawah fasa 1A setakat Januari 2022, meliputi kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur, manakala fasa 1B akan menyaksikan pelancaran 3,518 tapak 5G lagi menjelang hujung tahun ini.

Selaras dengan itu, DNB komited terhadap jadual yang dipercepatkan untuk melancarkan liputan 5G kepada 80 peratus penduduk menjelang 2024.

Berkuat kuasa 31 Disember lalu, rangkaian 3G telah ditamatkan, manakala 4G sedang diperkukuh sebagai sebahagian daripada inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bertujuan untuk menaik taraf infrastruktur komunikasi digital Malaysia sebagai persediaan untuk pelancaran 5G.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata perkembangan teknologi sangat pesat dan penting bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi berkualiti.

Justeru, katanya, negara akan hilang daya saing dengan ekonomi serantau seandainya pelaksanaan 5G terus ditangguhkan, manakala peniaga tidak dapat meningkatkan produktiviti, selain menjejaskan pengwujudan pekerjaan berkemahiran tinggi.

"Dalam apa jua perbincangan, adalah amat penting bagi memastikan situasi 'menang-menang' dapat dicapai. Telco mementingkan kos serta faktor kecekapan dan keuntungan apabila membuat keputusan.

"Kerajaan pula mementingkan dasar yang didukung bakal memberi manfaat kepada isi rumah dan peniaga. Jadi, perlu ada titik tengah bagi kepentingan bersama," katanya.

Berita Harian X