Selasa, 28 Jun 2022 | 10:52am
Ringgit diniagakan kukuh berbanding dengan beberapa mata wang utama - Foto hiasan
Ringgit diniagakan kukuh berbanding dengan beberapa mata wang utama - Foto hiasan

Dagangan ringgit dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila minat risiko terhadap mata wang tempatan meningkat didorong semakan positif terhadap unjuran penarafan kredit berdaulat jangka panjang Malaysia oleh S&P Global Ratings.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3960/4000 berbanding dolar AS daripada 4.4030/4060 pada 6 petang Isnin.

"Peningkatan ini (semakan positif) pastinya mengukuhkan sentimen dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia," kata penganalisis kepada Bernama.

Dalam laporan terbaharu mengenai Malaysia, S&P mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 6.1 peratus pada tahun ini dan 5.0 peratus pada 2023 disokong oleh eksport yang kukuh, harga komoditi dan permintaan domestik yang tinggi berikutan pembukaan semula ekonomi.

Agensi penarafan itu turut mengesahkan penarafan kredit berdaulat mata wang asing jangka panjang Malaysia pada 'A-' dan 'A-2' bagi jangka pendek serta penarafan mata wang tempatan jangka panjang Malaysia pada 'A' dan jangka pendek pada 'A-1'.

"Prospek stabil itu mencerminkan jangkaan kami bahawa momentum pertumbuhan Malaysia yang stabil dan kedudukan luaran yang kukuh akan kekal dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Pada masa sama, kami menjangkakan persekitaran penggubalan dasar akan menyokong dalam memulihkan penetapan fiskal kepada kedudukan yang lebih kukuh," menurut agensi penarafan itu dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata S&P Global Ratings menyemak semula prospek penarafan kredit berdaulat jangka panjang Malaysia kepada 'stabil' daripada 'negatif' kerana agensi itu percaya negara berada pada landasan pemulihan ekonomi yang kukuh.

Beliau berkata, unjuran KDNK sebanyak 6.1 peratus oleh S&P juga sejajar dengan jangkaan kerajaan untuk pertumbuhan lebih tinggi pada suku tahun berikutnya dan seiring dengan anggaran rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) yang lebih tinggi iaitu 5.3 hingga 6.3 peratus.

Dalam nota penyelidikan pada Selasa, MIDF Investment menjelaskan unjuran 2022 dan pandangan optimis S&P adalah selari dengan unjuran pihaknya.

Bank pelaburan itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia mencapai purata 6.0 peratus didorong oleh sektor luar yang kukuh, harga komoditi yang tinggi dan permintaan domestik yang teguh.

"Walaupun terdapat risiko kenaikan inflasi makanan namun tekanan harga keseluruhan akan kekal stabil susulan harga bahan api runcit semasa kekal tidak berubah bagi RON95 dan diesel.

"Selagi purata inflasi keseluruhan tidak melebihi 3.0 peratus tahun ke tahun, kami percaya perbelanjaan domestik akan kekal pada trajektori meningkat untuk tahun ini dan 2023," jelasnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kukuh berbanding dengan beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.1726/1760 daripada 3.1779/1805 ketika ditutup pada Isnin dan naik berbanding denga yen Jepun kepada 3.2450/2482 daripada 3.2564/2589.

Ringgit juga mengukuh berbanding dengan pound British kepada 5.3952/4001 daripada 5.4064/4101 semalam dan naik berbanding dengan euro kepada 4.6501/6543 daripada 4.6535/6567 semalam.

-BERNAMA

Berita Harian X