Jumaat, 27 Mei 2022 | 9:37am
Pengeluaran yang rendah menjejaskan stok minyak sawit di Malaysia - Foto Reuters
Pengeluaran yang rendah menjejaskan stok minyak sawit di Malaysia - Foto Reuters

Niaga hadapan minyak sawit tertinggi dalam tiga minggu

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives kembali mencatatkan keuntungan untuk ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh tiga minggu semalam di tengah-tengah jangkaan output yang semakin lemah daripada jangkaan.

Peniaga minyak sawit, David Ng, berkata isu buruh yang berpanjangan juga memberi tekanan kepada pengeluaran MSM.

"Pengeluaran yang lebih rendah berkemungkinan mengurangkan paras stok keseluruhan di negara ini. Kami mendapat sokongan pada RM6,300 satu tan dan rintangan pada RM6,800 satu tan," katanya kepada Bernama.

Pada penutup, kontrak niaga hadapan MSM bagi bulan semerta Jun 2022 naik RM127 kepada RM7,087 satu tan, Julai 2022 menokok RM194 kepada RM6,891 satu tan, Ogos 2022 melonjak RM150 kepada RM6,533 satu tan dan September 2022 meningkat RM117 kepada RM6,318 satu tan.

Oktober 2022 adalah RM95 lebih kukuh pada RM6,206 satu tan manakala November 2022 menambah RM95 kepada RM6,164 satu tan.

Jumlah dagangan naik kepada 65,892 lot berbanding 64,780 lot yang dicatatkan semasa Rabu manakala kepentingan terbuka melebar kepada 266,461 kontrak daripada 264,260 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan adalah lebih rendah sebanyak RM100 pada RM7,150 satu tan.

-BERNAMA

Berita Harian X