Isnin, 4 April 2022 | 6:22pm
Pelabur memantau pergerakan harga saham di Bursa Malaysia - Foto Reuters
Pelabur memantau pergerakan harga saham di Bursa Malaysia - Foto Reuters

Dagangan Bursa Malaysia berakhir rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatat prestasi berbeza daripada pasaran serantau apabila susut pada akhir dagangan Isnin, diheret turun oleh aktiviti pengambilan untung membabitkan saham wajaran tinggi terpilih serta sentimen dagangan yang lebih berhati-hati.

Pada 5 petang ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.49 mata kepada 1,598.92 daripada 1,602.41 pada akhir dagangan Jumaat lalu.

Sewaktu pasaran dibuka pagi ini, indeks petunjuk utama itu turun 0.38 mata kepada 1,602.03 dan bergerak dalam jajaran 1,594.77 hingga 1,602.32 sepanjang tempoh urus niaga.

Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 617 berbanding 355 manakala 419 lain tidak berubah, 853 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.38 bilion unit bernilai RM2.06 bilion daripada 3.13 bilion unit bernilai RM2.16 bilion pada Jumaat.

Seorang peniaga berkata, Bursa Malaysia memulakan dagangan hari ini dalam sentimen lebih berhati-hati dan susut daripada peningkatan yang diraih pada Jumaat lalu serta kekal dalam wilayah negatif sepanjang urus niaga hari ini.

"Kebimbangan berkaitan perang Russia-Ukraine dan jangkaan Amerika Syarikat (AS) menaikkan lagi kadar faedahnya, terus mempengaruhi sentimen pasaran," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa pasaran menyaksikan dagangan suram hari ini berikutan keengganan pelabur mengambil risiko atau bertindak berani berikutan ketiadaan pemangkin bagi pembelian manakala tekanan jualan saham wajaran tinggi perbankan dan perladangan terus menjejaskan indeks berkenaan.

"Walaupun sentimen pasaran berhati-hati, kami menjangkakan aktiviti memburu saham berharga rendah akan berlaku, susulan aliran masuk dana pelabur asing yang berterusan serta pemulihan keadaan makroekonomi di negara ini.

"Indeks petunjuk utama disokong oleh aliran masuk dana asing berterusan berjumlah RM6.8 bilion setakat tahun ini. Berikutan itu, kami menjangkakan indeks ini bergerak dalam lingkungan 1,590 hingga 1,610 pada minggu ini dengan rintangan segera pada 1,510 dan paras sokongan pada 1,580," katanya.

Di peringkat serantau, Pak Leng berkata, kebanyakan pasaran utama meningkat dengan minat belian terutamanya ke atas saham-saham teknologi.

Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 2.10 peratus kepada 22,502.31, Nikkei 225 Jepun naik 0.25 peratus kepada 27,736.47, Kospi Korea Selatan meraih 0.66 peratus kepada 2,757.90 manakala Indeks Straits Times Singapura menokok 0.04 peratus kepada 3,420.37.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank susut dua sen kepada RM8.96, Public Bank turun enam sen kepada RM4.72, Petronas Chemicals berkurangan tujuh sen kepada RM9.70 dan CIMB Group rugi tiga sen kepada RM5.30 manakala IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM6.28.

Bagi saham aktif, Pappajack naik 6.5 sen kepada 46 sen, Vortex menambah dua sen to 12 sen, KNM naik setengah sen kepada 18.5 sen, SIAB Holdings menokok 3.5 sen kepada 25.5 sen dan Metronic tidak berubah pada dua sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 8.51 mata kepada 11,480.16, FBM ACE melonjak 85.18 mata kepada 5,771.06, FBM 70 naik 68.25 mata kepada 13,941.10, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 45.68 mata kepada 12,079.53 dan Indeks FBMT 100 menokok 5.79 mata kepada 11,144.21.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.06 mata kepada 207.41, Indeks Perladangan menokok 131.56 mata kepada 8,080.32 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan sebaliknya susut 86.79 mata kepada 16,822.07.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.24 bilion saham bernilai RM1.73 bilion berbanding 1.92 bilion saham bernilai RM1.83 bilion pada Jumaat.

Selain itu, waran berkurangan kepada 386.84 juta unit bernilai RM56.25 juta daripada 440.92 juta unit bernilai RM69.88 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan merosot kepada 749.70 juta saham bernilai RM277.10 juta berbanding 762.11 juta saham bernilai RM253.87 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 434.71 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (692.18 bilion), pembinaan (181.42 juta), teknologi (147.24 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (47.75 juta), hartanah (239.28 juta), perladangan (78.53 juta), REIT (5.41 juta), dana/tertutup (1,000), tenaga (237.40 juta), penjagaan kesihatan (113.47 juta), telekomunikasi dan media (23.30 juta), pengangkutan dan logistik (16.90 juta) serta utiliti (25.62 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X