Khamis, 17 March 2022 | 12:11pm
Saham Wall Street menyokong kenaikan ekuiti global - Foto Reuters
Saham Wall Street menyokong kenaikan ekuiti global - Foto Reuters

Kenaikan kadar faedah AS lonjak saham global

NEW YORK: Saham global mencatatkan kenaikan, dipacu oleh ikrar China untuk membantu menstabilkan pasaran dan satu lagi penurunan sederhana dalam harga minyak selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kenaikan kadar faedah buat kali pertama sejak 2018.

Keyakinan terhadap rundingan di antara Russia dan Ukraine juga menaikkan harga saham, kata penganalisis, walaupun Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky merayu penggubal undang-undang AS untuk mendapatkan lebih banyak bantuan bagi berdepan Moscow.

Saham Wall Street menyokong kenaikan ekuiti global, dengan S&P 500 meningkat lebih daripada dua peratus ketika Fed meningkatkan usahanya berdepan gelombang kenaikan harga yang melanda ekonomi AS.

Kenaikan kadar faedah pertama Fed sejak 2018 menandakan usaha untuk mengatasi lonjakan harga pengguna, walaupun pencerobohan Russia ke atas Ukraine memberikan ketidaktentuan baharu dalam ekonomi yang dilanda kekangan rantaian bekalan dan kekurangan buruh.

Pengerusi Fed, Jerome Powell menzahirkan keyakinannya bahawa ekonomi terbesar dunia itu berupaya menampung dasar monetari yang lebih ketat, walaupun bank pusat AS itu mengurangkan unjuran pertumbuhannya untuk 2022.

"Kami tidak akan membiarkan inflasi yang tinggi terus berakar. Kos itu akan menjadi terlalu tinggi," kata Powell kepada pemberita, sambil menambah Fed komited untuk menggunakan 'alat yang berkuasa' untuk menghalangnya.

Ketua strategi di National Securities, Art Hogan, berkata mesej Fed adalah konsisten dengan jangkaan pasaran, yang bermakna kenaikan kadar faedah sudah pun diambil kira.

Beliau berkata, pasaran juga terus mendapat kekuatan daripada penurunan ketara dalam harga minyak, yang melonjak sejurus selepas Russia menyerang Ukraine.

Terdahulu, indeks ekuiti utama Hong Kong ditutup lebih sembilan peratus selepas media China berkata, pihak berkuasa akan mengekalkan kestabilan pasaran modal dan mengambil langkah untuk menangani risiko bagi pemaju hartanah yang bermasalah.

Berita itu menyemarakkan Indeks Hang Seng, di mana firma teknologi China bergelut dengan penjualan besar-besaran saham tahun ini, yang didorong oleh tindakan keras kerajaan terhadap sektor itu dan kebimbangan terhadap kemungkinan sekatan AS jika China membantu Russia dalam peperangannya dengan Ukraine.

Pasaran saham Frankfurt, Paris dan Milan ditutup lebih tiga peratus lebih tinggi manakala FTSE 100 London naik 1.6 peratus.

-AFP

Berita Harian X