Jumaat, 24 Disember 2021 | 3:27pm
Paras sokongan dan rintangan ringgit masing-masing ketika ini adalah RM4.245 dan RM4.1862 - Foto hiasan
Paras sokongan dan rintangan ringgit masing-masing ketika ini adalah RM4.245 dan RM4.1862 - Foto hiasan

Impak Omicron reda pulihkan pasaran, ringgit

KUALA LUMPUR: Kebimbangan terhadap impak varian Omicron yang semakin reda bakal melonjakkan sentimen pelabur disokong jangkaan aktiviti ekonomi yang kekal aktif dan lebih terbuka, sekali gus menjadi pemangkin kepada prestasi lebih baik pasaran saham tempatan serta ringgit.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata impak varian baharu COVID-19 yang semakin pudar itu akan turut memberi sokongan kepada peningkatan hasil serta keuntungan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Katanya, dengan perkembangan positif itu, mata wang tempatan secara umumnya akan mencatatkan aliran menaik berikutan prospek ekonomi pada 2022 yang lebih baik, selain jangkaan terhadap peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun hadapan.

"Harga saham akan diselaraskan dengan prospek ekonomi yang lebih baik. Dengan kata lain, harga saham akan meningkat dan membantu dalam kenaikan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

"Pada jangka masa pendek, paras sokongan FBM KLCI adalah 1,480 mata dan paras rintangan 1,530 mata," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, jangkaan peningkatan OPR boleh menjadi pemangkin terhadap nilai ringgit berikutan perbezaan kadar faedah yang memihak kepada ringgit.

"Sebagai contoh, kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) berada paras 0.25 peratus, manakala OPR pula pada tahap 1.75 peratus. Justeru, pelaburan dalam ringgit menjanjikan pulangan lebih tinggi.

"Oleh itu, jangkaan pemulihan ekonomi global serta unjuran OPR lebih tinggi tahun hadapan menjadi antara faktor yang boleh menyokong nilai ringgit yang lebih baik.

"Buat masa ini, paras sokongan dan rintangan ringgit masing-masing adalah RM4.245 dan RM4.1862.

"Bagaimanapun, nilai ringgit juga akan kerap mengalami suasana turun naik berikutan situasi ekonomi yang sentiasa berhadapan dengan ketidaktentuan akibat kemunculan varian baru COVID-19," katanya.

Ditanya ada sentimen positif itu berlanjutan, beliau menjelaskan, perkara itu sukar dijangkakan.

"Evolusi virus sangat dinamik dan kita tidak pasti, apakah varian baharu yang bakal muncul pada masa akan datang. Justeru, peserta pasaran dijangka lebih berhati-hati dalam melaksanakan pelan pelaburan," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, jika situasi COVID-19 kekal terkawal dan kredibiliti pihak berkuasa juga sentiasa pada tahap meyakinkan, sudah pasti ia akan menyumbang kepada peningkatan prestasi harga saham di Bursa Malaysia.

"Seperkara yang kita perlu sentiasa ingat adalah pasaran tidak menggemari suasana tidak pasti. Jika tidak diberi perhatian terhadap isu penting seperti COVID-19, maka maklum balas yang bakal kita lihat adalah kejatuhan harga saham," katanya.

Sementara itu, AmBank Research dalam nota penyelidikannya berkata, kebimbangan berhubung ancaman Omicron memacu pasaran dan ringgit bergerak turun naik dalam jajaran 4.1972 hingga 4.2100 berbanding dolar AS.

"Berdasarkan perkembangan semasa, ringgit mengukuh 0.3 peratus kepada 4.200, paras paling kukuh dalam tempoh lebih sebulan. Ia didagangkan pada paras tinggi 4.2133 dan rendah 4.1995.

"FBM KLCI pula meneruskan keuntungannya dengan melonjak 1.07 peratus kepada 1,516 mata selari dengan persekitaran risiko global.

"Pelabur runcit dan institusi tempatan menjadi pembeli bersih di pasaran dengan masing-masing RM37.7 juta dan RM32.7 juta, mengimbangi jualan bersih pelabur asing sebanyak RM70.4 juta," katanya.

CGS-CIMB pula menjangkakan pelabur kekal berhati-hati memasuki 2022 disebabkan potensi Omicron, pulangan jualan harian jangka pendek dan aliran keluar dana asing akibat pengetatan dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed).

"Ia juga dipengaruhi oleh pembalikan rangsangan fiskal, kos urus niaga lebih tinggi bagi dagangan saham Malaysia, risiko perolehan korporat disebabkan kadar cukai lebih tinggi dan risiko politik.

"Bagaimanapun, risiko penurunan ini mungkin dihadkan oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh apabila Malaysia membuka semula sempadan antarabangsa," katanya.

Berita Harian X