Selasa, 3 March 2020 | 5:34pm

Bank Negara turunkan lagi kadar faedah

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan mengurangkan penanda aras pinjaman, kadar dasar semalaman (OPR), sebanyak 0.25 peratus kepada 2.50 peratus.

Penurunan kali kedua pada kadar sama tahun ini menjadikan OPR semasa berada pada paras terendahnya sejak 2010.

Langkah itu juga adalah sejajar dengan jangkaan sebahagian besar ahli ekonomi, yang mana mereka berpendapat pengurangan kadar perlu untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dalam berdepan impak penularan COVID-19.

Susulan itu juga bank-bank tempatan dijangka menurunkan kos pinjaman masing-masing bermula hari ini. Kadar Asas (BR) semasa bank-bank di Malaysia ketika ini adalah antara 2.75 peratus hingga 4.22 peratus, manakala kadar asas pinjaman (BLR) antara 6.35 peratus hingga 7.14 peratus.

Bank Negara dalam kenyataannya berkata, dengan pengurangan kadar itu, kadar koridor tertinggi dan terendah bagi OPR masing-masing diturunkan kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

“Pengurangan OPR ini adalah untuk menyediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif bagi menyokong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dalam keadaan harga yang stabil.

“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berkaitan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai prestasi ekonomi, Bank Negara berkata, keadaan ekonomi global merosot sejak kebelakangan ini berikutan penularan COVID-19 telah mengganggu aktiviti pengeluaran dan aktiviti yang berkaitan dengan perjalanan, terutamanya di peringkat serantau.

Hal berkenaan, jelasnya, mendorong kepada kegiatan mengelak risiko yang lebih ketara, lantas mengakibatkan keadaan kewangan menjadi lebih ketat dan mewujudkan situasi turun-naik ketara dalam pasaran kewangan.

“Risiko kepada prospek pertumbuhan global meningkat, terutamanya dalam tempoh terdekat. Walau bagaimanapun, beberapa negara telah melaksanakan tindak balas dasar.

“Dengan jangkaan pelaksanaan beberapa langkah dasar, tindakan itu dijangka mengurangkan impak ke atas ekonomi akibat COVID-19, katanya.

Bank Negara berkata, ekonomi Malaysia meningkat pada kadar yang sederhana sebanyak 4.3 peratus pada 2019.

Ia berkata, pertumbuhan pada masa akan datang, khususnya pada suku pertama, akan terjejas oleh COVID-19 terutamanya dalam sektor yang berkaitan pelancongan dan sektor perkilangan.

Katanya, kelemahan dalam sektor pertanian juga dijangka berterusan pada suku pertama dan pada 2020, aktiviti sektor swasta dan sektor awam dijangka terus menyokong pertumbuhan.

“Perbelanjaan isi rumah diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam keadaan pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan yang sederhana.

“Aktiviti pelaburan dijangka mencatatkan pemulihan yang sederhana, disokong projek sektor awam dan swasta yang baharu dan sedang dilaksanakan,” katanya.

Bank Negara berkata, pakej rangsangan ekonomi 2020 juga akan menyediakan sokongan kepada kegiatan ekonomi. Walaupun pertumbuhan domestik dijangka bertambah baik secara beransur-ansur pada separuh kedua, ia berkata, terdapat risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca terutamanya daripada sifat evolusi dan kesan berpanjangan daripada COVID-19 serta kelemahan yang berterusan dalam sektor yang berkaitan komoditi.

“Pada 2020, inflasi keseluruhan dijangka mencatatkan purata lebih tinggi tetapi kekal pada kadar yang sederhana. Trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada perkembangan harga minyak dan komoditi sedunia serta masa pemansuhan harga siling bagi harga runcit bahan api domestik.

“Inflasi asas dijangka lebih sederhana, dalam keadaan tekanan permintaan yang terhad meskipun kegiatan ekonomi terus berkembang,” katanya.

Berita Harian X