Ahad, 23 Februari 2020 | 3:54pm
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhdm Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid - Foto Shiraz
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhdm Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid - Foto Shiraz

Aliran keluar dana asing dari pasaran saham RM304.65 juta

KUALA LUMPUR: Dana asing terus mengalir keluar daripada Bursa Malaysia bagi tempoh 17 hingga 20 Februari dengan nilai aliran keluar bersih RM304.65 juta.

Ia lebih tinggi berbanding aliran masuk bersih sebanyak RM80.77 juta dari 10 hingga 13 Februari.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhdm Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ini berikutan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu COVID-19 di luar China yang dilihat menjadi faktor utama dan berterusan mempengaruhi sentimen Bursa Malaysia.

“Ini terutamanya membabitkan kes di Korea Selatan dengan jumlah kes baharu telah meningkat sehingga 52 setakat 20 Februari dan menjadikan kes terkumpul sebanyak 156.

“Oleh itu, pelabur turut bimbang mengenai impak berpotensi ke atas pertumbuhan global memandangkan perdagangan dan pelaburan amat berkait rapat susulan kelaziman rantaian bekalan global,” katanya.

Beliau berkata berikutan keadaan ekonomi semasa, bank-bank utama di Asia telah mengurangkan kadar penanda aras untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara masing-masing.

“Kadar penyertaan purata institusi asing dan tempatan masing-masing pada 21.96 peratus dan 49.35 peratus, berbanding 24.81 peratus (institusi asing) dan 48.06 peratus (institusi tempatan) bagi tempoh yang sama minggu sebelumnya.

“Institusi tempatan pula merekodkan pembelian bersih bernilai RM124.23 juta pada tempoh 17 hingga 20 Feb , berbanding jualan bersih RM170.74 juta semasa 10 hingga 13 Feb,” katanya.

Sementara itu, aliran dana bersih bagi runcit tempatan mencatatkan belian bersih bernilai RM180.42 juta dengan penyertaan purata 28.70 peratus bagi tempoh 10 hingga 13 Februari berbanding pembelian bersih RM89.97 juta dengan penyertaan purata 27.14 peratus minggu ini.

Mohd Afzanizam juga menjangkakan pelabur asing terus dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi.

“Minggu hadapan (ini), tumpuan akan terarah kepada pakej rangsangan fiskal oleh kerajaan (yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) pada 27 Februari, oleh itu kami menjangkakan FBMKLCI akan kekal dalam jajaran kecil minggu ini,” katanya.

Mengenai sama ada Bank Negara Malaysia akan mengurangkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) semasa mesyuarat jawatankuasa dasar monetari akan datang, beliau berkata, bank pusat mungkin cenderung menurunkan kadar itu ketika mesyuarat yang diadakan di antara Mac dengan Mei ini.

“Semua perhatian akan terarah kepada pakej rangsangan fiskal terutama mengenai jumlahnya dan sektor yang diberikan penekanan,” katanya.

Pada Isnin, 17 Februari Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan minggu hadapan akan membantu mengurangkan kesan ekonomi berikutan COVID-19 dan membantu industri meningkat semula apabila virus itu dapat dikekang.

Memandangkan Malaysia adalah antara negara yang terawal melancarkan pakej itu walaupun kesan COVID-19 masih belum dapat dipastikan, ini menunjukkan kerajaan memberi penekanan dan keutamaan kepada cabaran akibat daripada virus berkenaan, katanya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Wira Amiruddin Hamzah juga menasihatkan majikan untuk mengekalkan dan melatih semula pekerja di tengah-tengah berlakunya penularan COVID-19.

Langkah itu perlu diambil supaya majikan bersedia bagi peningkatan semula, selepas kerajaan menjalankan libat urus dengan peserta industri yang terjejas dan industri kini sedang menunggu pakej rangsangan yang ditawarkan untuk menyokong mereka, katanya.

Sementara itu, Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) yang baru dilancarkan pada Jumaat (21 Feb), akan menggabungkan tiga elemen teknologi canggih baharu iaitu Kenderaan Generasi Seterusnya, Mobiliti sebagai satu Perkhidmatan serta Revolusi Perindustrian 4.0.

Mahathir berkata dasar yang disemak semula dan diberi penambahbaikan itu turut akan menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta kejuruteraan, membangunkan keupayaan dan kapasiti warga kerja tempatan, menyokong projek kereta nasional di samping melonjakkan jumlah eksport, pelaburan pengeluaran tempatan. – Bernama

Berita Harian X