Khamis, 9 Februari 2023 | 2:19pm
Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan pasaran buruh -NSTP/Azhar Ramli
Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan pasaran buruh -NSTP/Azhar Ramli

Jumlah rakyat Malaysia menganggur semakin berkurangan

PUTRAJAYA: Sektor tenaga buruh negara semakin pulih pada Disember 2022 dengan mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 3.6 peratus membabitkan 599,600 orang penganggur, manakala guna tenaga terus meningkat, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata menjelang akhir 2022, pelbagai sambutan termasuk cuti persekolahan akhir tahun serta lonjakan kunjungan di pusat dan kedai membeli-belah menunjukkan kedudukan ekonomi Malaysia yang semakin baik.

Beliau berkata, ia sekali gus membolehkan perniagaan berkembang, terutamanya bagi penggunaan barang dan perkhidmatan.

Selain itu, katanya inisiatif kerajaan untuk meningkatkan peluang pekerjaan serta mengukuhkan pasaran buruh bagi menyokong momentum pertumbuhan sosioekonomi Malaysia memacu kepada prestasi pasaran buruh yang lebih baik pada bulan berkenaan.

"Justeru, bilangan tenaga buruh pada Disember 2022 meningkat 0.1 peratus, sebanyak 16.73 juta orang berbanding 16.71 juta orang pada November 2022.

"Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) adalah pada 69.8 peratus berbanding bulan sebelumnya," katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Disember dan Suku Keempat 2022 yang diterbitkan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja kekal pada trend positif, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.13 juta orang pada bulan dikaji berbanding 16.11 juta orang bulan sebelumnya.

Mengenai kedudukan guna tenaga, kategori pekerja kekal sebagai komposisi terbesar dalam jumlah penduduk pekerja, merangkumi 75.8 peratus atau 12.23 juta orang pada Disember 2022.

"Berdasarkan sektor pula, perkhidmatan terus mencatatkan pertumbuhan positif dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman serta aktiviti maklumat dan komunikasi," katanya sambil menambah sektor pertanian, pembuatan, pembinaan dan perlombongan serta pengkuarian turut mengekalkan trend positif.

Sementara itu, beliau berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80.8 peratus daripada jumlah penganggur pada Disember 2022.

"Kategori ini berkurang sebanyak 0.8 peratus, kepada 484,200 orang berbanding bulan sebelumnya seramai 488,000 orang," katanya.

Melangkah ke hadapan, katanya pasaran buruh dijangka akan terus positif dan stabil dalam bulan yang akan datang disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjurkan sederhana pada 2023, berikutan kesan ketidaktentuan global pada bulan mendatang.

Tambahnya, peningkatan jumlah ketibaan pelancong akan terus menyokong pemulihan dalam subsektor pelancongan seiring dengan kedudukan pasaran buruh yang semakin baik terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

"Namun, jangkaan ini tidak mengambil kira cabaran situasi luar jangka yang mungkin berlaku pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X