KUALA LUMPUR: Sebahagian besar langkah pengukuhan monetari di rantau ini sudah selesai dengan hanya beberapa negara yang mengunjurkan kenaikan kadar termasuk Filipina dan Thailand, kata Ketua Ekonomi ANZ Bank (Asia Tenggara dan India), Sanjay Mathur.
"Bagi Malaysia, kami berpendapat Bank Negara Malaysia (BNM) telah menamatkan kitaran pengukuhannya dan tidak perlu lagi untuk berbuat demikian (menaikkan Kadar Dasar Semalaman atau OPR).
"Inflasi di Malaysia hanya lebih sedikit tiga peratus, yang agak terkawal. Kami berpendapat inflasi dan pertumbuhan akan perlahan yang akan mengurangkan banyak tekanan," katanya katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Inovasi Kewangan Asean di sini, hari ini.
Sanjay menjelaskan, inflasi berbeza dalam kalangan negara tetapi di rantau ASEAN, ia dijangka sederhana dan bertambah baik dengan lebih cepat daripada negara-negara maju.
Beliau berkata, inflasi di rantau ini dilihat lebih disebabkan kejutan harga komoditi, dan bukan disebabkan kekurangan tenaga kerja yang agak kritikal di negara-negara maju.
Bagi langkah-langkah yang diambil oleh negara untuk menangani inflasi, katanya ia tidak dapat ditentukan berikutan sifat inflasi adalah berbeza.
"Langkah-langkah yang diperlukan di ASEAN adalah berbeza. Di sini, ia lebih mengenai meningkatkan bekalan makanan, justeru dari segi peruntukan dalam dasar fiskal misalnya, ia boleh dari segi sokongan tunai kepada kumpulan berpendapatan rendah.
"Manakala di Amerika Syarikat (AS), langkah-langkah yang diambil lebih kepada mengekang permintaan, justeru, ia lebih melalui kitaran kadar faedah," katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya subsidi tidak dinafikan memainkan peranan penting dalam memerangi inflasi di negara ini.
Mengenai langkah kepada subsidi bersasar seperti yang dirancang oleh kerajaan, katanya ia sudah tentu akan menaikkan harga.
"Bagaimanapun, itu akan menjadi langkah sekali sahaja dan melainkan harga minyak naik semula. Saya fikir kita akan selesai pada tahap yang tinggi dan kemudian, ia akan turun semula pada tahun depan," katanya.
Mengulas mengenai langkah-langkah pandemik oleh Malaysia, beliau menyambut baik skim subsidi pendapatan oleh kerajaan selain sokongan kepada sektor korporat tetapi untuk jangka panjang, penyatuan fiskal perlu terus diperkukuh, katanya.
-BERNAMA