KUALA LUMPUR: MRT Corp Sdn Bhd sedang melaksanakan kajian terperinci dan komprehensif termasuk kesesuaian penyusunan semula membabitkan penjajaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
MRT Corp dalam satu siri maklum balas di laman Twitter, berkata kajian berkenaan cadangan penjajaran yang sedang dilaksanakan itu bertujuan untuk meminimumkan kesan sosial projek berkenaan kepada orang ramai, terutama membabitkan pengambilalihan tanah.
"Selepas kajian terbabit selesai, MRT Corp akan melaksanakan pemeriksaan awam Skim Keretapi MRT3 untuk tempoh tiga bulan di mana maklumat mengenai projek yang dicadangkan akan dipaparkan di lokasi terpilih.
"Orang ramai boleh melihat maklumat terperinci mengenai cadangan projek MRT3 dan digalakkan memberi maklum balas," demikian menurut MRT Corp menerusi laman Twitter rasmi @Mrtmalaysia ketika menjawab pertanyaan orang ramai mengenai cadangan penjajaran dan stesen MRT3.
Penjajaran terperinci mengenai projek MRT3 belum didedahkan, walaupun MRT Corp sudah mengeluarkan tender bagi dua kontrak perundingan pengurusan projek (PMC) termasuk pakej pembinaan sivil.
Ogos lalu, MRT Corp melantik syarikat usaha sama HSS Integrated Sdn Bhd dan HSS Engineering Sdn Bhd bagi pakej PMC bernilai RM997.9 juta.
Bagaimanapun, penganugerahan kontrak bagi pakej pembinaan sivil belum diumumkan.
Tarikh tamat tempoh bagi penyerahan kontraktor sistem turnkey dilanjutkan ke pertengahan bulan ini.
Jajaran MRT3 dijangka menelan kos sebanyak RM50.2 bilion membabitkan jarak 50.8 kilometer.
Ia dikatakan menjadi bahagian kritikal akhir rangkaian kereta api bandar Kuala Lumpur.