KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi setahun penuh 2022 dijangka melebihi 8.0 peratus bersandarkan kepada perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap suku tahun dan kesan terhadap pembukaan semula ekonomi selaras dengan fasa peralihan ke endemik COVID-19.
Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, berkata berdasarkan kepada KDNK setiap suku tahun 2022 iaitu suku pertama adalah 5.0 peratus, suku kedua (8.9 peratus) dan suku ketiga (14.2 peratus), ekonomi setahun penuh berpotensi mengatasi unjuran rasmi 6.5 hingga 7.0 peratus, berkemungkinan melebihi 8.0 peratus.
Bagaimanapun, beliau berkata prestasi ekonomi Malaysia pada tiga bulan terakhir tahun lalu berkemungkinan kurang daripada suku sebelumnya.
Dalam masa sama, katanya kadar pengangguran konsisten dalam julat 3.6 peratus pada Oktober dan November 2022, sementara bilangan penganggur terus menunjukkan penurunan kepada 600,900 orang pada November sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi lebih baik, namun gaji yang diperoleh perlu setimpal dengan kos sara hidup yang meningkat secara signifikan.
"Namun, angka ini tidak semestinya diterjemahkan dalam konteks kesan positif kepada rakyat secara menyeluruh disebabkan oleh kesan signifikan inflasi dan kenaikan harga barangan yang naik secara mendadak tahun lalu yang membebankan rakyat walaupun ekonomi negara berkemungkinan berkembang melebihi 8.0 peratus bagi 2022," katanya kepada BH.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 6.5 hingga 7 peratus pada 2022.
Bank Dunia pula menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ke tahun bagi Malaysia kepada 6.4 peratus daripada 5.5 peratus pada September 2022.
Pada Julai 2022, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ke tahun bagi Malaysia kepada 5.1 peratus pada 2022.
BNM dijangka mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat dan setahun penuh 2022 Jumaat ini.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin senada dengan Anuar Shah Bali dengan menjangkakan KDNK dianggarkan akan berada pada tahap melebihi 8.0 peratus.
Katanya, jangkaan itu berdasarkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan pada sembilan bulan 2022 yang sudah pun berkembang secara purata melebihi 9.0 peratus.
"Jika dilihat prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2022 sahaja, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 14.2 peratus, iaitu antara yang terbaik di rantau ini.
"Jadi, momentum ini dijangka berterusan pada suku keempat dengan jangkaan berkembang pada kadar sekitar 6.0 peratus, sekali gus meletakkan asas yang baik kepada ekonomi Malaysia untuk bersedia berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang lebih mencabar tahun ini.
"Selain daripada faktor kesan asas rendah, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2022 dilihat dipacu oleh penggunaan swasta, pelaburan sektor awam dan juga sektor luaran," katanya.
Berhubung prestasi ekonomi tahun ini, Irwan Shah berkata, keadaan ekonomi dijangka lebih mencabar berbanding tahun lalu, walaupun dari segi teknikalnya ekonomi Malaysia dijangka tidak akan mengalami kemelesetan.
"Pada tahun ini, ekonomi Malaysia dijangka bertumbuh pada kadar yang sihat, sekitar 4.0 hingga 5.0 peratus. Namun begitu, kadar unjuran ini dijangka berubah jika ada perubahan dalam situasi ekonomi global," katanya.
Profesor Adjung Tun Abdul Razak School of Government (TARSOG) Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr Zulkiply Omar, bersetuju dengan pandangan yang ekonomi akan tumbuh pada kadar yang lebih perlahan tahun ini, terutama disebabkan oleh persekitaran ekonomi dunia yang masih tidak menentu.
Katanya, persekitaran ekonomi dunia memberi kesan negatif terhadap eksport, terutamanya apabila kebanyakan negara maju masih mengekalkan dasar kewangan mengucup untuk menangani inflasi.
"Lantaran itu, aktiviti domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan KDNK Malaysia, terutamanya perbelanjaan swasta.
"Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan memainkan peranan penting memacu pertumbuhan, terutamanya sektor pelancongan. Ini sudah tentu disokong oleh pemulihan COVID-19 yang lebih jelas. Dalam pada itu nilai ringgit yang masih lemah turut menjadi penggalak. Kelemahan ringgit turut memberi sokongan terhadap eksport barangan," katanya.
Dalam pada itu, Zulkiply berkata, situasi politik terkini memberi kesan positif terhadap sentimen pelabur termasuk membabitkan komitmen kerajaan terhadap reformasi institusi politik dan ekonomi yang bakal menjadi pendorong utama.