Ahad, 1 Januari 2023 | 12:15pm
Pertumbuhan KDNK diunjur antara 4.0 hingga 4.2 peratus tahun ini -NSTP/Aswadi Alias
Pertumbuhan KDNK diunjur antara 4.0 hingga 4.2 peratus tahun ini -NSTP/Aswadi Alias

Ekonomi 2023 diunjur berkembang lebih sederhana

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia yang berkembang kukuh pada 2022 diunjurkan mencatatkan pertumbuhan lebih sederhana tahun ini, dengan jangkaan permintaan luaran yang berkurangan disebabkan oleh langkah memperketatkan dasar bagi membendung tekanan inflasi.

Selain inflasi, risiko kemelesetan ekonomi global dan peningkatan ketegangan geopolitik boleh menjejaskan ekonomi global, sekali gus melemahkan lagi tinjauan perdagangan luar Malaysia.

MIDF Research dalam satu penyelidikan bagaimanapun berkata, ia menjangkakan pertumbuhan perbelanjaan domestik yang mampan, di tengah-tengah permintaan tenaga kerja yang semakin berkembang, peningkatan jumlah pekerjaan dan kadar inflasi yang semakin reda di negara akan menjadi faktor penting bagi menyokong pertumbuhan Malaysia tahun depan.

"Pada masa ini, kami mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang sederhana kepada 4.2 peratus tahun ini selepas mencatatkan pertumbuhan kukuh 8.0 peratus tahun lalu," katanya.

MIDF Research yang juga cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata, pertumbuhan positif dalam tiga suku pertama 2022 dipermudahkan oleh pembukaan semula ekonomi dan pemulihan pasca pandemik yang lebih baik daripada jangkaan dalam aktiviti ekonomi domestik.

Katanya, melihat kepada trend terkini yang ditunjukkan oleh indeks pelopor (LI) Malaysia, ia menjangkakakn kadar penyederhanaan dalam momentum pertumbuhan bermula dari suku keempat 2022 dan seterusnya.

"Kami juga percaya kesan asas rendah akan menghasilkan kadar pertumbuhan yang lebih normal," katanya.

Untuk rekod, prestasi ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2022 berkembang sebanyak dua digit, iaitu 14.2 peratus berbanding suku sama pada 2021.

Pertumbuhan KDNK pada suku ketiga 2022 itu lebih tinggi daripada pertumbuhan pada suku pertama dan kedua tahun sama masing-masing mencatatkan 8.9 peratus serta 4.8 peratus.

Ini menjadikan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 berkembang sebanyak 9.3 peratus, didorong sebahagian besarnya oleh impak pembukaan sepenuhnya aktiviti ekonomi.

Mengulas lanjut, MIDF Research berkata pertumbuhan eksport negara berkembang kepada 15.6 peratus tahun ke tahun.

"Prestasi perdagangan luar lebih teguh, dengan eksport berprestasi lebih baik daripada jangkaan pada November 2022. Eksport meningkat pada 15.6 peratus.

"Eksport ke pasaran utama bertambah kukuh dan peningkatan dalam eksport pada November 2022 sebahagian besarnya didorong oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih tinggi," katanya.

Bagi kadar inflasi pula, MIDF Research berkata, ia terus merekodkan kadar yang tinggi sekali lagi.

Katanya, mencerminkan permintaan domestik asas, inflasi teras meningkat ke puncak baharu pada 4.2 peratus tahun ke tahun pada November 2022.

Ini katanya, secara berurutan, menjadikan harga teras meningkat 0.4 peratus bulan ke bulan.

"Kami berpendapat trend inflasi di Malaysia sangat didorong oleh kekukuhan permintaan pengguna, manakala penunjuk untuk inflasi kos sudah berkurangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Inflasi utama berterusan pada arah aliran yang menyederhana daripada kemuncaknya baru-baru ini.

"Dengan momentum ini, kami percaya Bank Negara Malaysia berkemungkinan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertama 2023 pada 23 Januari ini," katanya.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam satu nota penyelidikan baru-baru ini turut turut menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih perlahan pada 2023.

"Kami menjangkakan pertumbuhan seluruh tahun 2023 akan berkembang sederhana kepada 4.0 peratus, terutamanya mencerminkan penyederhanaan dalam permintaan domestik.

"Ini terutamanya disebabkan pertumbuhan lebih perlahan perbelanjaan swasta apabila kesan permintaan yang terpendam selepas pembukaan semula ekonomi semakin berkurangan, ditambah pula dengan kesan inflasi tinggi dan kadar faedah tinggi terhadap kos sara hidup serta pendapatan benar/boleh guna," katanya.

Berita Harian X