PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia kekal tinggi iaitu 4.0 peratus pada November dengan mata indeks berada pada 129.0 berbanding 124.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Bagaimana kadar berkenaan ternyata lebih rendah berbanding 4.7 peratus yang dicatat bulan Ogos 2022. Kedudukan inflasi yang tinggi mampu mengurangkan nilai sebenar pendapatan diperoleh, lantas menjejaskan kuasa membeli orang awam.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, empat negeri yang mencatatkan inflasi melebihi paras nasional 4.0 peratus adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9 peratus), Selangor (4.8 peratus), Sarawak (4.7 peratus) dan Johor (4.2 peratus).
Namun begitu, Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.4 peratus.
Semua negeri mencatatkan peningkatan inflasi Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor (9.0 peratus) diikuti oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (8.8 peratus), Sarawak (8.5 peratus), Johor (7.6 peratus) dan Sabah (7.4 peratus).
Kadar inflasi mengikut zon pula menyaksikan euro mereda kepada 10.0 peratus pada November 2022 daripada 10.6 peratus pada bulan sebelumnya, sementara di Amerika Syarikat juga mereda kepada 7.1 peratus pada bulan dikaji daripada 7.7 peratus pada Oktober 2022.
Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia (4.0 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (8.0 peratus), Thailand (5.6 peratus), Indonesia (5.4 peratus) dan Republik Korea (5.0 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Inflasi bagi tempoh Januari hingga November 2022, bagaimanapun meningkat 3.4 peratus berbanding 2.3 peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu.
"Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (5.6 peratus), Pengangkutan (4.7 peratus) dan Restoran & Hotel (4.7 peratus).
"Kadar inflasi bulan ke bulan pada November 2022 meningkat 0.3 peratus berbanding 0.2 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2022, disumbangkan terutamanya oleh kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (0.7 peratus) dan Restoran & Hotel (0.5 peratus). Manakala Kesihatan dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan masing-masing meningkat 0.3 peratus," katanya dalam Laporan IHP November 2022 yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, bagi tempoh bulan dikaji, inflasi kumpulan Makanan meningkat 7.3 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada November.
"Selain itu, Restoran & Hotel meningkat 7.0 peratus berbanding Oktober 2022 (6.8 peratus). Manakala, peningkatan lebih perlahan direkodkan bagi kumpulan Pengangkutan (5.0 peratus) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (3.8 peratus).
"Di samping itu, kumpulan utama lain turut mencatatkan peningkatan iaitu kumpulan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (3.6 peratus), Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.6 peratus) dan Pendidikan (1.5 peratus). Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain dan Kesihatan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.4 peratus, manakala Minuman Alkohol & Tembakau dan Pakaian & Kasut masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.4 peratus berbanding November 2021," katanya.
Beliau menjelaskan, pada November 2022, kesemua subkumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol mencatatkan peningkatan antara 1.6 peratus hingga 8.9 peratus.
"Dalam kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol, antara yang mencatatkan peningkatan tertinggi adalah subkumpulan Susu, keju & telur yang meningkat 8.9 peratus. Ini diikuti oleh Daging (8.2 peratus) dan Beras, roti & bijiran lain (7.5 peratus).
"Buah-buahan dan Sayur-sayuran pula masing-masing meningkat 4.1 peratus dan 3.6 peratus. Manakala subkumpulan Minyak & lemak menyederhana kepada 1.6 peratus kesan daripada penetapan harga siling baru minyak masak kemasan botol 2-kilogram, 3-kilogram dan 5-kilogram bagi tempoh 8 November hingga 7 Disember 2022," katanya.
Mohd Uzir berkata, ayam yang menjadi komponen terbesar dalam subkumpulan Daging (46.1 peratus) meningkat 6.4 peratus berbanding peningkatan 4.8 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2022.
"Purata harga ayam standard di peringkat negara pada November 2022 meningkat kepada RM10.36 sekilogram berbanding RM10.07 pada Oktober 2022 (November 2021: RM9.55). Purata harga di Semenanjung Malaysia adalah RM9.83 sekilogram, Sabah (RM12.14) dan Sarawak (RM11.88). Selain itu, harga daging babi terus mencatatkan peningkatan 28.5 peratus pada bulan ini berbanding peningkatan 26.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kumpulan Pengangkutan menunjukkan peningkatan lebih perlahan kepada 5.0 peratus pada November 2022 berbanding Oktober 2022 (5.2 peratus).
"Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh subkumpulan Perkhidmatan pengangkutan (7.2 peratus). Selain itu, Pengurusan alat pengangkutan persendirian menyederhana kepada 5.1 peratus berbanding 5.6 peratus pada Oktober 2022.
"Purata harga Petrol tanpa plumbum RON97 meningkat sebanyak 29.1 peratus (RM3.95 seliter) berbanding RM3.06 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Kenaikan harga minyak ini adalah kesan daripada peningkatan harga minyak mentah Brent (12.8 peratus) kepada AS$91.07 setong pada November 2022," katanya.
Sementara itu, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.9 peratus daripada 124.7 pada November 2021 kepada 129.6 pada November 2022 dengan peningkatan itu disumbangkan oleh kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol sebanyak 6.9 peratus.
Dalam pada itu, inflasi teras yang mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tanpa mengambil kira harga makanan segar yang tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan mencatatkan peningkatan 4.2 peratus pada November 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol iaitu 8.2 peratus, manakala kumpulan Pengangkutan turut mencatatkan kenaikan 7.9 peratus, diikuti oleh Restoran & Hotel (7.0 peratus); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (3.8 peratus) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (3.6 peratus).