KUALA LUMPUR: Pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow, yang meninggal dunia hari ini pada usia 92 tahun, ialah umpama gergasi dalam hubungan perbankan, kata bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim.
"Beliau banyak menyumbang kepada industri perbankan dari segi pengembangan produk dan perkhidmatan termasuk meluaskan akses kepada kredit untuk ekonomi," katanya susulan berita pemergian Hong Piow hari ini.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Public Bank berkata Hong Piow, yang mengasaskan bank itu pada 1965, meninggal dunia 10.20 pagi tadi.
Teh dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan sejak memulakan operasi perniagaan pada 6 Ogos 1966.
Beliau mendedikasikan hidupnya untuk membina bank itu menjadi sebuah kumpulan perbankan yang kukuh di Malaysia.
Hong Piow melepaskan jawatan CEO serta dilantik semula sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif pada 1 Julai 2002.
Beliau bersara sebagai pengerusi bukan eksekutif menjelang 31 Disember 2018.
Beliau kemudian, dilantik sebagai Pengerusi Emeritus dan Penasihat Public Bank pada 1 Jan 2019, dan kekal sebagai pengarah bukan eksekutif dalam lembaga Public Bank, katanya. – BERNAMA