X
Selasa, 13 September 2022 | 4:08pm
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berucap pada Persidangan ESG Perbankan Malaysia Sulung 2022 di Hotel Shangri-La. - NSTP/FATHIL ASRI.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berucap pada Persidangan ESG Perbankan Malaysia Sulung 2022 di Hotel Shangri-La. - NSTP/FATHIL ASRI.

Malaysia tidak muflis - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebenarnya tidak pernah menyatakan Malaysia mengalami masalah ekonomi yang mengakibatkan negara ini muflis, sebaliknya ia yakin dengan potensi pertumbuhan ekonomi negara, demikian tegas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Malah, katanya, agensi penarafan terkemuka global seperti S&P Global Ratings telah membuat semakan semula prospek penarafan hutang negara kepada 'stabil' berbanding 'negatif' berikutan pemulihan ekonomi negara berada dalam landasan yang kukuh.

Jelasnya, asas ekonomi negara juga utuh dengan perangkaan terkini menunjukkan ekonomi negara berkembang kukuh pada suku kedua 2022 sebanyak 8.9 peratus, kadar pengangguran juga berkurangan, sekali gus menunjukkan pemulihan pekerjaan dan kadar inflasi juga terkawal.

"IMF yakin dengan pertumbuhan ekonomi kita. S&P juga dalam laporannya bahawa penggubalan dasar akan menyokong kemantapan fiskal kepada kedudukan yang lebih kukuh.

"Saya juga ingin nyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengupah mana-mana pihak perunding bebas menguruskan hal kewangan negara, semua dijaga oleh kita," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan khas di Persidangan Perbankan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai viral di media sosial yang menyatakan negara ini memerlukan bantuan kewangan IMF dan berdepan muflis.

Mengenai kesan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) terhadap paras hutang negara, Tengku Zafrul berkata, sebahagian besar hutang negara berada dalam ringgit iaitu kira-kira 97.5 peratus.

Justeru, katanya, negara tidak perlu risau impak tukaran asing membabitkan dolar AS kerana negara mempunyai mudah tunai yang mencukupi.

Mengenai prestasi ringgit, Tengku Zafrul berkata, ia perlu dilihat secara menyeluruh dan yang paling penting adalah memastikan asas ekonomi negara kekal kukuh, yang mana ia akan menyokong pengukuhan mata wang tempatan.

Beliau berkata, walaupun lemah berbanding dolar AS, ringgit sebaliknya mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Malah, katanya, negara juga tiada keperluan untuk menambat ringgit kepada dolar AS berikutan ekonomi Malaysia kekal di landasan yang kukuh disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang semakin berkembang.

"Kita melihat bukan saja nilai ringgit yang telah susut berbanding dolar AS, malah negara lain seperti mata wang yen, pound, euro, yuan, peso, baht, won juga menyusut berbanding dolar AS.

"Jika kita bandingkan ringgit dengan sesetengah mata wang asing yang lain (yen, pound, euro, yuan, peso, baht, won), nilai ringgit lebih mengukuh berbanding semua mata wang asing ini.

"Paling penting sebagai negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara kalau dibandingkan dengan negara lain," katanya.

Berita Harian X