Khamis, 8 September 2022 | 1:49pm
Tinjauan kerja projek pembinaan di sekitar ibu negara -NSTP/Aswadi Alias
Tinjauan kerja projek pembinaan di sekitar ibu negara -NSTP/Aswadi Alias

Kos bahan binaan melonjak setinggi 22 peratus bulan lalu

KUALA LUMPUR: Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (tanpa bar keluli & termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Ogos 2022 meningkat antara 0.2 hingga 22 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi laporan Indeks Kerja-Kerja Pembinaan dan Struktur Ogos 2022 yang diterbitkan hari ini berkata, indeks kos binaan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 5.5 dan 18 peratus, Sabah antara 0.2 dan 15.3 peratus manakala Sarawak antara 5.4 dan 22 peratus.

Katanya, perbandingan secara tahunan bagi tempoh Ogos 2021 dan Ogos 2022 menunjukkan peningkatan bagi IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah bangunan (konkrit bertetulang) lima tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah ialah cerucuk (konkrit bertetulang) di Sandakan dan kerangka besi satu tingkat bangunan di Miri," katanya dalam satu kenyataan.

DOSM berkata, IKB tanpa bar keluli meningkat antara 5.5 dan 12.4 peratus untuk semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia.

Ia berkata, kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah bangunan (konkrit Bertetulang) 5 Tingkat dan Lebih (Untuk Pejabat). Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah ialah kerangka besi satu tingkat (menara sahaja) di Sandakan.

"Sementara itu, IKB tanpa bar keluli tertinggi di Sarawak adalah kerangka besi satu tingkat (bangunan) di Miri," katanya.

DOSM berkata, indeks harga seunit bahan binaan meningkat antara 5.0 hingga 13.3 peratus pada Ogos 2022 berbanding setahun yang lalu.

Katanya, indeks harga bagi seunit bagi besi dan keratan keluli & logam pula masing-masing meningkat 12.9 peratus dan 11.4 peratus bagi tempoh itu.

"Perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih pula menunjukkan penurunan indeks harga seunit bagi besi untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Penurunan indeks harga seunit bagi keratan keluli dan logam mencatatkan penurunan antara 0.2 hingga 3.4 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Namun begitu, terdapat bahan binaan lain di beberapa kawasan yang kekal tidak berubah antaranya adalah batu baur bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia kecuali di Johor; konkrit sedia bancuh di semua kawasan di Sabah; pasir di Kuching dan Miri, Sarawak," katanya.

Berita Harian X