Selasa, 6 September 2022 | 3:02pm
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz pada sidang media Pemeran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di MATRADE. - NSTP/ ROHANIS SHUKRI
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz pada sidang media Pemeran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di MATRADE. - NSTP/ ROHANIS SHUKRI

Eksport Malaysia dianggar mencecah RM1 trilion

KUALA LUMPUR: Nilai eksport Malaysia diunjurkan dapat mencecah RM1 trilion sehingga Ogos 2022, sekali gus dapat mengekalkan trajektori lonjakan eksport seperti yang direkodkan pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata jangkaan itu adalah berdasarkan kepada purata nilai eksport bulanan dari Januari 2022 sehingga Julai 2022.

Beliau berkata, pertumbuhan eksport telah dipacu oleh pelan kemampanan yang dilaksanakan Malaysia merangkumi semua peringkat perniagaan dan kerajaan.

Katanya, pelan kemampanan ini memberikan keyakinan dan meningkatkan nilai produk eksport negara kepada pelanggan luar negara terutamanya dari Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

"Pelan kemampanan adalah penting kerana ia bukan saja memberikan kebaikan kepada alam sekitar tetapi turut membuka pertumbuhan permintaan dari negara luar terhadap produk Malaysia.

"Ia telah terbukti apabila eksport negara semakin meningkat dan terus mendapat permintaan dari negara luar," katanya selepas taklimat media pada Program Sumber Antarabangsa (INSP) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) di sini hari ini.

Pada Julai 2022, eksport negara meningkat 38 peratus kepada RM134.07 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-12 bulan berturut-turut dipacu oleh peningkatan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum serta gas asli cecair (LNG).

Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua angka, dan eksport ke ASEAN juga mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.

Pada Januari hingga Julai 2022, eksport meningkat 27.8 peratus kepada RM873.07 bilion dan import berkembang 32.5 peratus kepada RM734.51 bilion.

Mengenai MIHAS 2022 pula, Mohd Mustafa MATRADE menyasar mencapai jualan bernilai RM1.9 bilion semasa MIHAS 2022 ke-18 yang akan berlangsung dari 7 hingga 10 September ini.

Beliau berkata, MIHAS 2021 yang julung kali diadakan secara maya tahun lalu telah mencapai jualan memberangsangkan sebanyak RM2.13 bilion daripada kedua-dua komponen pameran dan mesyuarat perniagaan yang diadakan selama tiga bulan.

"Kami tidak mahu bercita-cita tinggi tetapi kami sangat yakin bahawa kami akan dapat mencapai sasaran itu.

"Tahun ini, semua pempamer akan diberi peluang untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka selama tiga hari berbanding tahun lalu," katanya.

Mohd Mustafa berkata, MIHAS tahun ini akan diadakan secara hibrid dan mempamerkan 1,196 reruai membabitkan 13 kluster utama.

Beliau berkata, MATRADE telah menambah Seni dan Budaya Islam sebagai kelompok ke-13 dalam MIHAS 2022, melengkapkan kluster sedia ada terdiri daripada farmaseutikal, kewangan Islam, fesyen, media dan rekreasi, kosmetik dan penjagaan peribadi, teknologi makanan, francais, pelancongan mesra Muslim, perkhidmatan dan pendorong, pendidikan dan e-dagang.

Malah katanya, Program Sumber Antarabangsa (INSP) sempena MIHAS 2022 juga telah mengatur mesyuarat perniagaan pra-atur di antara lebih 200 pembeli antarabangsa dan lebih 300 peniagaan yang terdiri daripada pengeksport dari Malaysia.

INSP MIHAS katanya, menyaksikan lebih 1,500 pemadanan perniagaan pra-atur B2B secara fizikal.

"Mesyuarat perniagaan B2B itu termasuk mesyuarat bersama pembeli premium dari negara-negara seperti Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, India dan Turki yang di kenal pasti menerusi 46 pejabat antarabangsa MATRADE.

"Pembeli premium ini mewakili beberapa konglomerat, peruncit dan pasar raya terbesar di negara tersebut.

"Di samping itu, versi secara maya INSP MIHAS telah memadankan hampir 200 pembeli antarabangsa and lebih 200 pengeksport Malaysia setakat ini, yang dijangka menjana anggaran RM43.1 juta nilai potensi urus niaga," katanya.

Berita Harian X