Khamis, 1 September 2022 | 3:35pm
Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua 2022 - Foto BERNAMA
Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua 2022 - Foto BERNAMA

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang lebih kukuh 6.6 peratus

KUALA LUMPUR: MIDF Research menaikkan sasaran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 6.6 peratus daripada anggaran 6.0 peratus sebelum ini, susulan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua 2022.

Dalam notanya hari ini, MIDF Research berkata menerusi bacaan daripada prospek lebih baik seperti ditunjukkan oleh Indeks Pelopor, ia mengunjurkan momentum pertumbuhan akan berterusan sehingga separuh kedua tahun ini.

"Ini akan disokong oleh pertumbuhan perbelanjaan dan aktiviti perniagaan ketika peralihan ekonomi ke fasa endemik COVID-19, dengan kelonggaran sekatan serta peningkatan ketibaan pelancong.

"Walaupun langkah seperti pemberian tunai Bantuan Keluarga Malaysia dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membantu melonjakkan perbelanjaan pada suku kedua 2022, kita mungkin melihat pertumbuhan yang lebih normal bagi perbelanjaan domestik menjelang akhir tahun ini," katanya.

MIDF Research menjelaskan bahawa pasaran pekerjaan yang memulih dan prospek pendapatan lebih baik akan terus menyokong aktiviti perbelanjaan domestik.

Bagi perdagangan luar, firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan luaran yang semakin berkembang, terutamanya bagi elektrik dan elektronik (E&E), petroleum serta sawit, akan turut menyokong tinjauan pertumbuhan tahun ini.

"Bagaimanapun, kami berwaspada dengan kemungkinan risiko penurunan daripada luar seperti prospek pertumbuhan lebih lemah di rakan dagangan utama (China dan Amerika Syarikat), meningkatnya ketegangan geopolitik dan gangguan berterusan dalam rantaian bekalan global.

"Di sebalik ketidaktentuan luaran ini, kami berpandangan bahawa pertumbuhan di atas 6.0 peratus boleh dicapai berikutan kekuatan dan peningkatan berterusan dalam permintaan domestik," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X