Jumaat, 30 September 2022 | 12:11pm
Gambar fail - NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Gambar fail - NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Sektor oleokimia sawit tawar peluang pelaburan menarik

BANGI: Pelabur disaran meneroka peluang dalam sektor oleokimia berasaskan sawit di Malaysia memandangkan permintaan global untuk produk oleokimia semakin meningkat.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata permintaan global untuk produk nilai tambah seperti bahan kimia industri, nutraseutikal, kosmeseutikal, makanan tambahan dan produk farmaseutikal semakin meningkat sejajar dengan perubahan dalam aspek demografi dan sosial, peningkatan kekayaan serta kesejahteraan global berikutan kesan urbanisasi yang pesat.

Menurut laporan, pasaran oleokimia global telah mencecah AS$22.5 bilion pada 2021.

Permintaan global untuk oleokimia dijangka meningkat kepada AS$33.9 bilion menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun yang tinggi sebanyak 7.2 peratus sepanjang 2022-2027.

"Ini menunjukkan pasaran oleokimia global berkembang pesat dengan permintaan tinggi terhadap produk berasaskan oleokimia.

"Oleh itu, pelabur harus meneroka dan melabur dalam sektor oleokimia berasaskan sawit negara yang berpotensi tinggi, disokong oleh inisiatif penyelidikan dan pembangunan berterusan MPOB.

"Sebagai contoh, pelaburan di Sabah dan Sarawak mempunyai potensi besar untuk berjaya kerana pada masa ini tiada kilang oleokimia yang beroperasi di kedua-dua negeri. Pelabur boleh mendapat manfaat daripada bekalan minyak sawit dan minyak isirung sawit tanpa gangguan untuk penghasilan oleokimia," katanya.

Sarawak mempunyai kawasan tanaman sawit terbesar di Malaysia manakala Sabah adalah negeri pengeluar minyak sawit terbesar di negara ini. Sehingga Ogos tahun ini, terdapat 50 buah kilang penapisan, 42 buah kilang pelumat isirung sawit dan 20 buah kilang oleokimia beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata aktiviti R&D MPOB bagi sektor hiliran oleokimia meliputi lapan bidang utama iaitu surfaktan, poliol & poliuretana, kosmetik, agrokimia, bahan kimia seni, bio-pelincir, teknologi dan alam sekitar.

MPOB juga menyediakan kemudahan loji rintis dan bantuan teknikal untuk kajian kebolehlaksanaan dan menawarkan perkhidmatan kawalan dan penetapan kualiti.

Pelbagai produk oleokimia berasaskan sawit yang dihasilkan melalui aktiviti R&D MPOB telah dikomersialkan seperti kosmetik, produk penjagaan diri, detergen, bahan plastik, bahan pemprosesan polimer, krim farmaseutikal dan minyak pelincir, formulasi racun perosak, campuran konkrit, lilin gel, kusyen kereta, panel hiasan, produk sanitasi dan gel mandian.

Penyelidikan MPOB juga berjaya menghasilkan formulasi makanan haiwan ternakan berasaskan sawit yang sedia untuk dikomersialkan. Formulasi dihasilkan menggunakan bahan seperti minyak sawit mentah dan asid lemak sawit sebagai sumber tenaga, pelepah pokok sawit, tandan buah kosong, batang kelapa sawit dan gentian sawit sebagai sumber serat, dan dedak isirung sawit sebagai sumber protein.

Menurutnya, formulasi MPOB dapat mengurangkan kos makanan haiwan yang semakin meningkat berikutan harga bahan mentah import seperti jagung dan kacang soya yang tinggi, sekali gus membimbangkan pengeluar makanan ternakan tempatan.

"Penggunaan hasil sampingan sawit dalam makanan haiwan adalah salah satu strategi untuk meningkatkan produktiviti dan kemampanan ternakan, di samping mengurangkan kos pengeluaran makanan dan mengurangkan pergantungan kepada bahan makanan import," katanya.

Selain itu, katanya, biojisim sawit berpotensi sebagai bahan mentah untuk pelbagai produk seperti papan gentian berketumpatan sederhana, papan partikel, pulpa dan kertas, komposit plastik dan biokomposit serta digunakan untuk penghasilan bio-tenaga. Biojisim sawit adalah alternatif yang baik untuk menggantikan kayu dalam banyak aplikasi.

"Kami juga telah membangunkan teknologi untuk mengekstrak dan mengekalkan karotenoid dalam minyak sawit terproses. Beberapa pengeluar telah menggunakan teknologi ini dan mengeluarkan minyak sawit merah khusus untuk memenuhi permintaan untuk makanan serta gaya hidup sihat," tambahnya.

Kajian saintifik telah mendedahkan manfaat kesihatan penggunaan minyak sawit dan ramai pakar yang menyedari sifat unik minyak sawit Malaysia, mengesyorkan pengambilan minyak sawit dalam pemakanan harian membantu mencapai diet yang seimbang dan sihat. Minyak sawit kaya dengan karotenoid, tokotrienol, sterol dan squalene, Lecithin, ko-enzim Q dan fitosterol.

Berita Harian X