Selasa, 30 Ogos 2022 | 11:22am
Empat daripada lima pekerja di Malaysia menganggap latuhan adalah sebahagian penting perkembangan kerjaya -NSTP/Amirul Johari
Empat daripada lima pekerja di Malaysia menganggap latuhan adalah sebahagian penting perkembangan kerjaya -NSTP/Amirul Johari

Majikan Malaysia kurang beri sokongan pekerja tingkat kemahiran

KUALA LUMPUR: Hampir semua, atau 97 peratus responden di Malaysia menyatakan minat terhadap peluang pembelajaran dan pembangunan kerjaya.

Namun, hanya 36 peratus daripada responden di negara ini yang menyatakan bahawa majikan ada menawarkan latihan kepada mereka, demikian menurut kaji selidik Workmonitor separuh kedua 2022 oleh agensi penyelesaian sumber manusia utama dunia, Randstad.

Kaji selidik dwi-tahunan itu memberikan sorotan terhadap sentimen dan persepsi terkini pekerja terhadap pasaran pekerjaan dalam negara.

Lebih empat daripada lima responden dalam kaji selidik itu menganggap latihan dan pembangunan adalah sebahagian penting perkembangan kerjaya mereka, memperakui bahawa ia adalah langkah utama ke arah kepuasan bekerja.

Pengarah Negara di Randstad Malaysia, Fahad Naeem, berkata pekerja di negara ini menyedari kepentingan program latihan peningkatan kemahiran yang kerap sebagai sebahagian perjalanan pembangunan kerjaya mereka.

Beliau berkata, program sedemikian adalah penting dalam memperkasa mereka untuk bekerja secara lebih berkesan dan berfikir secara kritikal supaya mendapat lebih banyak peluang kenaikan pangkat dalam organisasi.

Bagaimanapun, katanya di sebalik kemahuan itu, masih terdapat keraguan untuk meningkatkan tahap kemahiran disebabkan oleh beban kerja melampau selain kekurangan kapasiti mental untuk menghadiri kursus-kursus latihan.

"Adalah penting untuk dinyatakan bahawa peningkatan kemahiran pekerja adalah gabungan usaha majikan dan kakitangan.

"Syarikat yang mahukan pekerja produktiviti tinggi dan menarik serta mengekalkan bakat dengan lebih baik perlu menawarkan peluang peningkatan kemahiran untuk membantu kakitangan berkembang ke jawatan yang menambah nilai," katanya dalam satu kenyataan.

Ditanya apa yang dimahukan untuk latihan, 61 peratus responden menyatakan kemahiran teknikal, 60 peratus mahu membangunkan kemahiran insaniah dan 54 peratus berminat untuk membangunkan lagi peranan sedia ada.

Naeem menambah, dalam era transformasi digital, syarikat perlu melabur untuk membangunkan pekerja yang bersedia untuk masa depan serta tangkas bagi mendapatkan kelebihan daya saing.

"Apabila pekerja berpeluang untuk belajar dan mengaplikasikan kaedah baharu di tempat kerja, mereka akan menjadi lebih cekap menjalankan tugasan serta berkomunikasi dengan lebih baik antara satu sama lain," katanya.

Kaji selidik Randstad itu juga menunjukkan bahawa 96 peratus responden berminat untuk mendapatkan jurupandu kerja bagi mendapatkan nasihat serta panduan berkaitan kerjaya.

Kaji selidik Workmonitor Randstad 2022 diadakan antara 21 Februari hingga 13 Mac lalu dengan responden di Malaysia yang bekerja dan berusia antara 18 hingga 67 tahun.

Berita Harian X