Isnin, 29 Ogos 2022 | 2:57pm
Jumlah eksport negara mencatatkan RM125 bilion setiap bulan -NSTP/Danial Saad
Jumlah eksport negara mencatatkan RM125 bilion setiap bulan -NSTP/Danial Saad

Eksport Malaysia cecah RM1 trilion bulan ini

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis jumlah eksport negara bagi tempoh lapan bulan pertama 2022 akan mencecah RM1 trilion berdasarkan prestasi perdagangan yang memberangsangkan pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata secara purata, jumlah eksport negara mencatatkan RM125 bilion setiap bulan dan berada di landasan baik untuk mengekalkan prestasi sama pada sepanjang tahun.

Pada Januari hingga Julai 2022, jumlah perdagangan Malaysia sebanyak RM1.607 trilion dengan eksport berjumlah RM873.07 bilion dan import sebanyak RM734.51 bilion.

"Berdasarkan prestasi perdagangan yang sangat baik ketika ini, saya yakin eksport Ogos akan mencatatkan jumlah purata yang sama, seterusnya menjadikan eksport negara secara keseluruhannya mencecah RM1 trilion.

"Permintaan terhadap barangan Malaysia amat tinggi ketika ini. Syarikat tempatan dengan bantuan MATRADE turut dilihat begitu agresif mempromosikan barangan tempatan ke luar negara," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Mustafa bersama-sama delegasi MATRADE mengadakan lawatan rasmi ke Wisma Bernama serta mengadakan perbincangan dengan CEO Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin.

Sementara itu, Mohd Mustafa berkata penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 ke-18 selama empat hari bermula 7 September depan disasarkan menarik penyertaan 1,200 pempamer yang terdiri daripada syarikat tempatan yang mempromosikan produk halal.

"Melalui pameran halal terbesar di peringkat antarabangsa ini, kita juga akan membawa 250 pembeli dari luar negara yang dikumpulkan melalui rangkaian 46 pejabat MATRADE di seluruh dunia serta lima pembeli premium untuk hadir pada MIHAS tahun ini.

"Saya yakin berdasarkan pencapaian MIHAS 2021 yang mencatatkan jumlah pendapatan hampir RM2.13 bilion, MIHAS 2022 berupaya mencapai sasaran melebihi jumlah yang dijana pada tahun lalu," katanya.

MIHAS ke-18 yang akan diadakan secara hibrid akan memberi penekanan khusus kepada agenda untuk membantu pemain tempatan dan antarabangsa bagi melihat inovasi dan inisiatif mampan serta pertumbuhan ekonomi halal.

-BERNAMA

Berita Harian X