Jumaat, 26 Ogos 2022 | 12:37pm
Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang secara positif pada suku ketiga 2022 dan dalam tempoh terdekat -NSTP/Aziah Azmee
Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang secara positif pada suku ketiga 2022 dan dalam tempoh terdekat -NSTP/Aziah Azmee

Indeks pelopor beri petunjuk ekonomi Malaysia kukuh

KUALA LUMPUR: Indeks pelopor (LI) Malaysia yang melantun semula sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun kepada 111.7 mata pada Jun 2022 selepas merekodkan kenaikan 2.3 peratus pada Mei 2022 kepada 111.3 mata, menandakan keyakinan ke arah pertumbuhan ekonomi selanjutnya.

Dalam nota penyelidikan, MIDF Research berkata peningkatan indeks pelopor pada Jun adalah kenaikan terpantas sejak Jun 2021, terutamanya didorong oleh import sebenar yang lebih tinggi bagi logam asas berharga dan logam bukan ferus lain selain dirangsang oleh kesan asas rendah daripada tahun sebelumnya.

Berdasarkan bulan ke bulan, firma penyelidikan itu berkata LI berkembang positif pada 0.4 peratus bulan ke bulan pada Jun 2022, disumbangkan oleh peningkatan dalam empat daripada tujuh komponen, terutamanya import sebenar logam lain (+0.6 peratus bulan ke bulan) dan syarikat baharu berdaftar (+0.6 peratus bulan ke bulan).

Keadaan ekonomi semasa turut meningkat dengan ketara apabila indeks serentak meningkat sebanyak 12.6 peratus tahun ke tahun yang menjadi pertumbuhan paling kukuh untuk 14 bulan berturut-turut, katanya.

MIDF Research berkata, lonjakan itu sejajar dengan peningkatan aktiviti ekonomi domestik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan pada suku kedua 2022.

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus berkembang secara positif pada suku ketiga 2022 dan dalam tempoh terdekat kerana bacaan LI terkini menunjukkan tanda-tanda menggalakkan yang meningkatkan momentum pertumbuhan.

"Ini berikutan pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa walaupun terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya kelembapan terutamanya disebabkan ketidaktentuan luaran," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X