Khamis, 25 Ogos 2022 | 6:47pm
Mohd Salem bergambar selepas melancarkan Kempen Hartanah UDARia 2022 di Kuala Lumpur. - FOTO Hazreen Mohamad/BH
Mohd Salem bergambar selepas melancarkan Kempen Hartanah UDARia 2022 di Kuala Lumpur. - FOTO Hazreen Mohamad/BH

Hadiah lebih RM1 juta menanti pembeli hartanah UDA

UDA Holdings Bhd (UDA), peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan melancarkan Kempen Hartanah UDARia 2022 yang menawarkan hadiah menarik berjumlah RM1 juta kepada pembeli produk hartanahnya.

Menerusi kempen itu, UDA menganjurkan pameran hartanah komprehensif yang menampilkan 14 projek hartanahnya yang berlangsung dari bulan Ogos hingga Oktober 2022 di seluruh Malaysia.

Antara hadiah yang akan dibawa pulang oleh pembeli adalah pakej percutian keluarga, baucar Touch N Go e-wallet dan pakej spa, tertakluk kepada terma dan syarat.

Selain itu, UDA turut menawarkan lima hadiah utama cabutan bertuah iaitu satu baucar tunai RM100,000 dan empat telefon pintar kepada pembeli yang bertuah.

Menampilkan tema 'Sempurna untuk Semua Generasi, Kempen Hartanah UDARia 2022 mengetengahkan pelbagai unit kediaman serta komersial yang memenuhi keperluan semua lapisan di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kuantan dan Kuala Terengganu.

Galak pemilikan kediaman

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany, berkata kempen hartanah itu adalah salah satu usaha pihaknya membantu menggalakkan pemilikan kediaman, seterusnya memperkasa gaya hidup menerusi tawaran hartanah dengan harga menarik serta bernilai tinggi.

"Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang dan mereka menjalani gaya hidup yang berbeza antara satu sama lain.

"Setiap individu mempunyai kisah dan matlamat hidup yang tersendiri, namun satu perkara yang menyatukan semua ialah setiap individu memerlukan kediaman.

"Menerusi kempen ini, UDA berhasrat membantu lebih ramai memiliki kediaman yang diidamkan dan bersesuaian dengan gaya hidup masing-masing," katanya pada majlis pelancaran kempen itu di Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran disempurnakan secara maya oleh Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Dekati generasi muda

Pada Kempen Hartanah UDARia 2022, ia turut memperkenalkan komik karikatur yang menggambarkan enam karakter 'Generasi UDA'; Juara (The Champ), Cekap Teknologi (The Techie), Pasangan Bercinta (The Love Birds), Bercita-cita Tinggi (The Ambitious), Ayah Perwira (The Superdad) dan Warga Emas (The Golden Couple) yang diinspirasi daripada profil pelanggan bagi memberi inspirasi kepada bakal pembeli serta memadankan projek hartanah yang bersesuaian dengan karakter berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Salem berkata, generasi UDA yang diterjemahkan menerusi komik karikatur terbabit diinspirasi daripada komik tempatan terkemuka bertujuan mendekati generasi muda.

"Elemen kreatif ini juga bertujuan memberi idea serta memudahkan pelanggan mengenalpasti produk hartanah yang terbaik untuk mereka.

"Penganjuran kempen ini juga bertepatan dengan tonggak utama perniagaan UDA; 'Life' iaitu Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa), di mana UDA sentiasa komited membantu orang ramai mendapatkan kediaman yang terbaik," katanya.

UDA menyasarkan penyertaan 15,000 pengunjung di pameran Kempen Hartanah UDARia yang bakal diadakan sempena program UsahaNiaga Keluarga Malaysia iaitu dari 26 hingga 28 Ogos 2022 di Odeon Walk, berhadapan Kompleks Pertama, Kuala Lumpur; 16 hingga 18 September 2022 di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang; 23 hingga 25 September 2022 di Serambi Teruntum di Kuantan, Pahang; 30 September hingga 2 Oktober 2022 di Angsana Ipoh Mall, Perak dan 21 hingga 23 Oktober 2022 di Angsana Johor Bahru Mall.

Berita Harian X