Rabu, 17 Ogos 2022 | 2:16pm
Pelaksanaan pensijilan MSPO belum dimandatorikan untuk fasiliti pemprosesan minyak sawit dan sektor perniagaan sawit -NSTP/Danial Saad
Pelaksanaan pensijilan MSPO belum dimandatorikan untuk fasiliti pemprosesan minyak sawit dan sektor perniagaan sawit -NSTP/Danial Saad

Tiada pihak ketiga sedia khidmat rundingan peniaga sawit

KUALA LUMPUR: Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) tidak pernah melantik sebarang perunding, syarikat atau wakil untuk menyediakan perkhidmatan rundingan kepada peniaga sawit, kata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Dalam satu kenyataan, KPPK menjelaskan pada masa ini semua Badan Pensijilan Bertauliah (ACB) sedang melalui proses akreditasi dengan Jabatan Standard Malaysia.

Ia menambah, senarai ACB untuk MSPOMS2530:2022 boleh didapati di laman web MPOCC.

"Ini adalah perlu demi memastikan badan-badan pensijilan yang menjalankan audit di bawah skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) cekap, dipercayai dan konsisten," katanya dalam satu kenyataan.

MPOCC seterusnya mengulangi bahawa fasiliti pemprosesan minyak sawit dan sektor perniagaan sawit boleh mendapatkan pensijilan MSPO secara sukarela di bawah MS2530:2022 Bahagian 4.2 dan 4.3 sehingga Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengumumkan pelaksanaan mandatori bagi bahagian-bahagian terbabit.

Bagaimanapun, pelaksanaan pensijilan MSPO belum lagi dimandatorikan untuk fasiliti pemprosesan minyak sawit dan sektor perniagaan sawit.

Piawaian MSPO MS2530:2022 adalah versi baharu yang dilancarkan pada 22 Mac 2022 dengan penambahan bahagian baharu iaitu Bahagian 4.2 untuk fasiliti pemprosesan minyak sawit dan Bahagian 4.3 untuk sektor perniagaan sawit.

Sebelum ini, versi piawaian ini dikenali sebagai MS2530:2013.

-BERNAMA

Berita Harian X