Selasa, 16 Ogos 2022 | 2:51pm
Masalah kesihatan mental memudaratkan kesejahteraan emosi dan menjejaskan produktiviti individu - Foto hiasan
Masalah kesihatan mental memudaratkan kesejahteraan emosi dan menjejaskan produktiviti individu - Foto hiasan

Masalah kesihatan mental dalam kalangan pekerja Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR: AIA Malaysia melihat semakin ramai tenaga kerja terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan mental yang telah diburukkan lagi oleh pandemik.

Sehubungan itu, ia memperkenalkan penyelesaian kesihatan mental yang pertama di negara ini menerusi kerjasama dengan ThoughtFull.

Ketua Pegawai Penyelesaian Korporat AIA, Tung Hsiao Ley, berkata langkah bersama itu adalah sebagai sebahagian daripada usaha kumpulan membantu organisasi menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja dengan lebih baik.

Beliau berkata, penyelesaian baharu itu membolehkan majikan memberikan penjagaan yang lebih baik dan sokongan hujung ke hujung untuk kesejahteraan mental pekerja mereka. 

"Masalah kesihatan mental bukan sahaja memudaratkan kesejahteraan emosi seseorang individu itu, tetapi ia turut menjejaskan produktiviti.

"Organisasi perlu memainkan  peranan yang lebih aktif dalam menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Penyelesaian kesihatan mental baharu itu adalah sebahagian daripada 'WorkWell with AIA', satu bahagian di bawah Penyelesaian Korporat Menyeluruh kumpulan.

'WorkWell with AIA' menawarkan pelbagai penyelesaian dan perkhidmatan bagi membimbing organisasi yang ingin memupuk dan meningkatkan kesejahteraan pekerja.

Hsiao Ley berkata, kelazmiman masalah kesihatan mental terus mencatatkan peningkatan sehingga ia boleh menjejaskan setiap aspek kehidupan individu terutamanya di tempat kerja. 

Beliau berkata, kajian oleh Relate Malaysia mendapati bahawa pada 2018, seramai 4.57 juta orang dewasa yang bekerja mengalami masalah kesihatan mental dengan  29 peratus daripada pekerja menunjukkan bahawa tahap kesihatan mental sangat rendah.

Tinjauan Tempat Kerja Paling Sihat di Malaysia oleh AIA Vitality pada 2019 pula, katanya mendapati bahawa semakin ramai tenaga kerja di Malaysia tidak mendapat tidur secukupnya dan kerja secara berlebihan.

Katanya, 51 peratus daripada mereka mengalami sekurang-kurangnya satu dimensi tekanan atau stres berkaitan kerja dan 53 peratus mendapat tidur kurang daripada tujuh jam sehari. 

Sebagai salah satu daripada penyedia insurans manfaat pekerja terbesar Malaysia, AIA bermatlamat menyediakan penyelesaian yang serba lancar bagi meningkatkan tahap kesejahteraan mental di syarikat.

"Kami juga ingin menghapuskan  stigma dan mewujudkan ruang yang selamat di tempat kerja bagi menggalakkan perbincangan berkaitan kesihatan mental," katanya.

Berita Harian X